Sebuah daripada tiga pusat cuci kereta haram dirobohkan MPS pada 24 Oktober 2019. Foto Ihsan MPS
PBTSELANGOR

Tiga pusat cuci kereta haram diroboh MPS

BATU CAVES, 25 OKT: Keengganan pemilik mendapatkan permit sah akhirnya memakan diri apabila tiga buah pusat cuci kereta diroboh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi khas bersepadu secara besar-besaran, di Kampung Melayu, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, aktiviti perobohan bermula pada 9.30 pagi itu dilakukan berikutan pihaknya mengesan terdapat struktur pusat cuci kereta yang didirikan dan beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Katanya, sebanyak enam notis dikeluarkan bagi tindakan penyitaan dan perobohan pusat cuci kereta di bawah Undang-Undang Kecil 3,Seksyen 46(1)(a)

“Operasi perniagaan yang dijalankan ialah di atas jalan awam di hadapan Tadika Kemas tanpa mendapatkan kelulusan MPS.

“Selain itu, kita menyita dan merobohkan pusat cuci kereta yang beroperasi di bawah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan di hadapan rumah pam Bendahara termasuk di bawah pencawang TNB di tepi jalan utama Jalan Sungai Tua Batu 9,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zin berkata, dalam operasi membabitkan seramai 20 anggota penguat kuasa dan lima anggota daripada jabatan dalam MPS, pihaknya turut menyita seunit tong kitar semula di bawah Seksyen 46(1)d

“Sitaan ini dilakukan di bawah kesalahan meletakkan tong kitar semula di bahu jalan di Jalan Selayang Mutiara yang dijadikan sebagai tempat membuang sampah.

“Operasi bersepadu ini akan dijalankan dari masa ke semasa,” katanya.


Pengarang :