AGENDANASIONAL

TPM: Taksub gajet hingga jarang bercakap dengan keluarga

ALOR GAJAH, 19 OKT: Rakyat di negara ini dilihat sering bersama gajet sehingga jarang bercakap dengan anggota keluarga terutama anak-anak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata rakyat Malaysia disaran supaya menghadkan masa dengan gajet dan memperuntukkan waktu secukupnya dengan anggota keluarga dalam membentuk masyarakat yang kukuh.

“Kita ini banyak sangat dengan gajet, jarang bercakap dengan keluarga terutama anak-anak, terlalu asyik dengan Whatsapp periksa apa status Facebook. Selalulah bercakap dengan adik beradik, keluarga semuanya.

“Keluarga ini penting kerana ia adalah asas masyarakat, jika runtuh keluarga kesannya akan meleret hingga beri kesan kepada masyarakat itu sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang bersama rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta lebih 100 penduduk DUN kawasan itu dan dalam majlis sama, Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan kepada 49 penerima bantuan kebajikan di kawasan itu.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan telah, sedang dan akan melaksanakan banyak inisiatif bagi memperkasa rakyat khususnya kumpulan B40 antaranya Bantuan Sara Hidup (BSH), PEKA B40 dan MySalam.

Beliau berkata kementeriannya juga bertanggungjawab melaksanakan program pembangunan keluarga dan masyarakat melibatkan kumpulan sasar antaranya adalah kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya, yang mana Jabatan Kebajikan Masyarakat menguruskan bantuan yang diberikan kepada yang layak dikalangan kumpulan sasar ini.

“Peruntukan yang digunakan untuk menampung kos pemberian bantuan ini tinggi, justeru, kita berhasrat untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat supaya lebih ramai penerima bantuan dapat dikeluarkan daripada belenggu kesusahan dan dapat berdikari, dan lebih baik lagi, mereka pula menyumbang untuk orang lain memerlukan.

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi Belanjawan 2020 sejumlah RM6.5 bilion diperuntukan untuk mencipta 350,000 peluang pekerjaan pada tahun depan dan ini adalah berita gembira untuk semua terutama anak muda.

“Selain itu, Kerajaan turut berhasrat memperkasa sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sangat dekat dengan para belia dengan menyediakan tambahan peruntukan RM200 juta,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :