PENDAPATRENCANA

Tribunal lindungi hak pengguna, boleh tuntut sehingga RM50,000

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) adalah suatu badan kehakiman bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 bagi melindungi hak rakyat sebagai seorang pengguna

Mula berkuat kuasa pada 15 November 1999, TTPM berfungsi untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan yang difailkan pengguna di bawah Akta 599 dan tertakluk kepada peruntukan akta terbabit.

Sebelum penubuhan tribunal, semua pertikaian antara pengguna dan peniaga, pembekal atau pengilang barang atau pembekal perkhidmatan difailkan dan didengar di mahkamah sivil membabitkan prosedur yang rumit, kos yang tinggi serta membabitkan masa panjang untuk diselesaikan.

Sebagai satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil, bidang kuasa tribunal adalah untuk pengguna menuntut tebus rugi berkenaan pembelian barang atau perkhidmatan yang dibenarkan di bawah bidang kuasa, jumlah amaun tuntutan tidak melebihi RM50,000 dan tuntutan yang dijelaskan dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu.

Jumlah tuntutan tidak melebihi RM50,000 itu berkuat kuasa selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pengguna (Pindaaan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat pada 8 Julai 2019 bagi menggantikan jumlah lama tidak melebihi RM25,000.

1) Prosedur membuat tuntutan:

A) Borang 1
Semua tuntutan yang dikemukakan pihak yang menuntut (pembeli) perlu dibuat dalam Borang 1 yang boleh didapati secara percuma dari pejabat tribunal berdekatan.

Pihak yang menuntut perlu mengisi empat salinan Borang 1 dan kemudian memfailkannya di pejabat tribunal terdekat dengan bayaran fi pemfailan sebanyak RM5.00.

Borang 1 akan didaftarkan, ditarikhkan, ditandatangani dan dimeterai oleh Setiausaha Tribunal. Dua salinan Borang 1 yang sudah dimeterai tribunal akan dikembalikan kepada pihak yang menuntut untuk serahan ke atas penentang (penjual).

Jika penentang adalah seorang individu, Borang 1 boleh ditinggalkan, diberi atau dipos dalam satu surat berdaftar berbayar dahulu kepada alamat terakhir yang diketahui.

Jika penentang adalah sebuah syarikat, Borang 1 boleh ditinggalkan atau diberikan kepada pengarah, pengurus, setiausaha atau atau dipos dalam satu surat berdaftar berbayar dahulu kepada alamat terakhir yang diketahui.

B) Borang 2

Penentang yang menerima Borang 1 yang dimeterai daripada pihak yang menuntut perlu mempertikaikan tuntutan, memfailkan pernyataan pembelaan dan tuntutan balas (jika ada) dalam Borang 2 yang boleh didapatkan secara percuma daripada pejabat tribunal.

Borang 2 perlu difailkan dalam empat salinan di pejabat tribunal dalam tempoh 14 hari dari tarikh terima Borang 1. Bayaran bagi pemfailan Borang 2 adalah sebanyak RM5 dan resit resmi akan dikeluarkan kepada penentang

Borang 2 akan didaftarkan, ditarikhkan, ditandatangani dan dimeterai dengan meterai tribunal oleh Setiausaha Tribunal. Dua salinan Borang 2 yang sudah dimeterai akan dikembalikan kepada penentang untuk serahan satu salinan kepada pihak yang menuntut.

C) Borang 3

Pihak yang menuntut yang sudah menerima Borang 2 daripada penentang perlu membuat pembelaannya kepada tuntutan balas penentang (jika ada) dalam Borang 3 yang boleh didapati secara percuma daripada pejabat tribunal

Borang 3 perlu difailkan dalam empat salinan di pejabat tribunal yang berkenaan dalam masa 14 hari dari tarikh pihak yang menuntut menerima Borang 2. Tiada fi pemfailan dikenakan bagi Borang 3.

Borang 3 akan didaftarkan, ditarikhkan, ditandatangani dan dimeterai dengan meterai tribunal oleh Setiausaha Tribunal dan 2 salinan Borang 3 yang sudah dimeterai akan dikembalikan kepada pihak yang menuntut untuk diserahkan satu salinan kepada penentang.

Borang-Borang 1, 2, 3 dan 12 boleh juga didapati melalui laman sesawang www.kpdnkk.gov.my atau http://ttpm.kpdnkk.gov.my. Panduan atau senarai semakan berhubung cara pengisian Borang 1, 2, 3 dan 12 boleh juga didapati dari pejabat tribunal.

2) Tatacara Pendengaran

Apabila suatu tuntutan difailkan di tribunal, setiausaha kepada tribunal perlu memberikan notis tentang butir-butir mengenai hari, masa dan tempat pendengaran dalam Borang 4 kepada pihak yang menuntut dan penentang tidak kurang dari 14 hari sebelum tarikh pendengaran. Kedua-dua pihak tidak boleh diwakili peguam bela atau peguam cara ketika prosiding pendengaran yang bersifat terbuka kepada orang ramai.

Jika pihak yang menuntut seorang belum dewasa atau seorang yang tidak berupaya, beliau boleh diwakili oleh sahabat wakil atau penjaga, manakala jika pihak penentang adalah sebuah firma atau syarikat, ia boleh diwakili oleh seorang pekerjanya yang digaji sepenuh masa.

Pendengaran tuntutan dalam tribunal akan dijalankan di hadapan seorang anggota tribunal digelar sebagai ‘presiden’ ketika pendengaran dan beliau boleh pada bila-bila masa membantu kedua-dua pihak dalam menjalankan kes mereka.

Ketika pendengaran, tribunal perlu membantu kedua-dua pihak untuk membuat suatu penyelesaian tuntutan itu melalui persetujuan jika ia wajar. Kedua-dua pihak berhak untuk mengemukakan keterangan, memanggil mana-mana saksi atau mengemukakan apa-apa dokumen, rekod atau benda bagi menyokong kes masing-masing.

3) Award Tribunal

Selepas presiden membuat keputusan, tempoh ‘Award Tribunal’ perlu dibuat dalam masa 60 hari dari hari pertama pendengaran di hadapan tribunal.

Dalam pendengaran yang dilakukan, tribunal boleh membuat satu atau lebih keputusan ‘Award Tribunal’ antaranya membayar wang, penggantian atau pemulangan semula barangan, pengubahan kontrak serta menolak tuntutan.

Setiap penyelesaian yang dipersetujui direkodkan tribunal dan ‘award’ yang dibuat adalah muktamad serta mengikat semua pihak kepada prosiding itu.

‘Award’ yang dibuat tribunal perlu disifatkan sebagai perintah Mahkamah Majistret dan boleh dikuatkuasakan oleh mana-mana pihak kepada prosiding di Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa di tempat ‘award’ diperoleh.

Pihak yang gagal mematuhi ‘award’ selepas 14 hari dari tarikh dibuat oleh tribunal disabitkan melakukan suatu kesalahan jenayah dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya;

Dalam hal kesalahan yang berterusan, pesalah boleh sebagai tambahan kepada penalti di atas, didenda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.


Pengarang :