Pembangunan Kampung Baru dirancang bagi memastikan kawasannya lebih menarik dan teratur. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tubuh pasukan khas selia pembangunan di Kampung Baru – MUDA

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Himpunan Pemuda dan Belia Kampong Bharu (MUDA) akan menghantar memorandum khas kepada kerajaan bagi mencadangkan penubuhan sebuah pasukan khas di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dapat menjaga kemaslahatan dan pembangunan sejagat penduduknya.

Wakil MUDA Mohamad Shahril Saleh berkata, melalui memorandum “Pembangunan Ekonomi Disamping Mengekalkan Warisan Hartanah” pihaknya berharap pemilihan ahli pasukan itu perlulah daripada dalam kalangan penduduk Kampung Baru yang berkelayakan.

“MUDA mencadangkan penubuhan dan keanggotaan pasukan khas dalam kalangan penduduk sendiri kerana mereka lebih mengetahui apa yang terbaik untuk pembangunan kawasan penempatan mereka.

“Pihak kami juga memohon agar kerajaan sudi mengambil calon yang layak daripada penduduk kampung ini sendiri supaya ada penglibatan kepimpinan masyarakat terutama anak muda sebagai pemegang warisan ke hadapan.

“Ini agar setiap perincian pembangunan mendapat maklum balas sewajarnya daripada pihak-pihak berkepentingan (kerajaan, pemaju dan penduduk),” katanya ketika sidang media Himpunan Solidariti Selamatkan Kampung Baru, di sini, hari ini.

Mohamad Shahril yang mewakili warga tuan tanah dan pewaris Kampung Baru berkata, memorandum berkenaan akan dihantar dalam tempoh dua minggu lagi,

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan perlu memainkan peranan aktif mewujudkan sinergi di antara Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan Malay Agricultural Settlement (MAS) supaya tidak wujud percanggahan untuk kepentingan penduduk.

Mohamad Shahril turut berkata, memorandum itu antara lain turut memfokuskan terhadap pemeliharaan sosiobudaya, politik dan kelangsungan bangsa Melayu yang telah menjadi penduduk tetap di kawasan kejiranan Kampung Baru sejak tahun 1900.

Tanah seluas 223 ekar di tengah bandaraya Kuala Lumpur itu adalah tanah kurniaan Sultan Selangor, Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Syah.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Dewan Pembangunan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim berkata, dalam membangunkan penguasaan ekonomi orang Melayu di Kampung Baru, ia perlu berasaskan pada pengamalan ekonomi tanpa riba dan amalan sedekah dalam kalangan penduduk itu sendiri.

“Kedua konsep pembangunan ekonomi ini akan dapat mengembalikan maruah dan kekuatan ekonomi bangsa Melayu di sini, ini kerana Kampung Baru adalah ibu negara orang-orang Melayu yang patutnya dibanggakan,” katanya.

Himpunan itu dihadiri kira-kira 600 penduduk Kampung Baru yang mengharapkan agar pihak kerajaan dapat mengambil langkah terbaik dalam membangunkan kawasan itu tanpa perlu menghapuskan hak mereka sebagai pemilik tetap tanah.

– BERNAMA


Pengarang :