Pengunjung melihat replika rumah pada pameran hartanah Selangor di Setia City Mall, Setia Alam pada 19 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDANASIONAL

Tubuh perbadanan perumahan mampu milik

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS) mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan perbadanan perumahan mampu milik kebangsaan.

Perbadanan itu perlu berperanan merancang, menyelaras dan melaksanakan pelan tindakan serta cadangan perumahan mampu milik di seluruh negara.

Anggota Jawatankuasa Eksekutif PEPS, James Wong berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kos tanah dan perbelanjaan pembinaan dalam usaha menyelesaikan isu kemampuan pembelian rumah susulan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lepas bahawa rumah di Malaysia dianggap ‘sangat tidak mampu milik’ berdasarkan piawaian antarabangsa.

Beliau berkata, ketidakmampuan ini terutamanya disebabkan pendapatan isi rumah yang tidak seiring dengan kenaikan harga rumah selama ini.

“PEPS bersetuju sepenuhnya dengan hasil dapatan BNM bahawa harga rumah berada di luar kemampuan purata rakyat Malaysia.

“Apabila BNM melaporkan median kemampuan berganda (nisbah harga rumah kepada pendapatan isi rumah tahunan) meningkat kepada 4.8 kali pada 2016 dan semakin tinggi pada 2019, ini sekali gus menjadikan rumah semakin sangat tidak mampu milik,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan BNM, Qaiser Iskandar Anwarudin berkata, mengikut metodologi median berganda yang dibangunkan oleh Demographia International dan disyorkan oleh Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Harvard University, sebuah rumah dianggap sebagai mampu dibeli jika harganya tidak melebihi tiga kali ganda pendapatan tahunan isi rumah.

Beliau berkata, tahap kemampuan di Malaysia telah menurun dengan median kemampuan berganda (nisbah harga rumah kepada pendapatan isi rumah tahunan) meningkat kepada 4.8 kali pada 2016 daripada 3.9 kali pada 2012.

Wong juga bekas presiden PEPS berkata, persatuan itu amat berharap kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan mengenai pemajakan tanah yang sesuai untuk perumaham mampu milik di samping mengenal pasti pemaju untuk pembangunan usaha sama.

“Kerajaan perlu menjalankan kajian mengenai permintaan dan penawaran, paras pendapatan, pendapatan isi rumah, kemampuan dan isu harga bagi permintaan.

“Kerajaan juga perlu membuat kajian pasaran dan kebolehlaksanaan pembangunan sebelum ia dijalankan untuk memastikan terdapat permintaan di lokasi tertentu,” katanya.

Wong, yang juga pengarah urusan VPC Alliance (Malaysia) Sdn Bhd berkata, PEPS turut berharap syarikat utiliti dapat mencari penyelesaian bagi mengurangkan kos pematuhan pemaju, pada masa sama, menggalakkan pemaju untuk mengguna pakai Sistem Binaan Industri (IBS) supaya kos pembinaan dapat dikurangkan.

“Dalam perkembangan lain, kita juga gembira apabila sehingga Ogos 2019, bank telah mengeluarkan pinjaman perumahan dengan nilai berjumlah RM113 bilion, yang memberi manfaat kepada 260,000 peminjam.

“Sekiranya BNM juga mengeluarkan angka mengenai jumlah pemohon yang permohonan pinjaman mereka telah ditolak serta cadangan supaya peluang kelulusan dapat ditingkatkan, ia akan menjadi maklumat berguna,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :