Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tun M `menyembuhkan’ negara – Duta Jepun

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Dr Makio Miyagawa mengucapkan ‘sayonara’ kepada Malaysia selepas lima setengah tahun berada di sini sebagai Duta Jepun dan memuji Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau sifatkan sebagai seorang pemimpin yang disayangi, dihormati dan dikagumi kerajaan, rakyat, ahli politik, pemimpin perniagaan Jepun.

“Sekiranya Tun Dr Mahathir seorang doktor perubatan, beliau pastinya telah menyembuhkan ramai pesakit tetapi beliau menjadi pemimpin politik dan beliau telah ‘menyembuhkan’ negara. Saya belajar banyak perkara daripadanya. Beliau pemimpin yang sangat baik dan saya harap beliau akan terus menjadi pemimpin yang baik.

“Semua orang di Jepun gembira mempunyai pemimpin sedemikian di Asia,” katanya kepada Bernama dalam wawancara sempena penamatan khidmat beliau di negara ini di kediaman rasminya di sini pada Khamis.

Dr Miyagawa, 68, yang memegang Ijazah Doktor Falsasah (PhD) dalam Hubungan Antarabangsa dan Undang-undang dari Oxford University berkata, beliau akan merindui Malaysia apabila kembali ke negaranya pada Selasa ini tetapi berjanji akan kembali ke negara ini pada masa depan dalam persediaan untuk bersara daripada perkhidmatan diplomatik.

Berikut transkrip soal jawab wawancara berkenaan:

Soalan: Anda berpeluang berkhidmat di Malaysia sebanyak dua kali dalam kerjaya diplomatik anda. Selepas berkhidmat selama lima setengah tahun sebagai duta, apakah antara perkara yang akan anda bawa pulang mengenai Malaysia yang mungkin menjadikan khidmat anda di sini suatu memuaskan dan membuahkan hasil?

Jawapan: Saya sangat gembira dan suka dihantar ke Malaysia, dua kali. Malaysia sebuah negara yang bagus. Tanggapan saya tentang Malaysia adalah orangnya sangat baik. Apabila saya mula-mula ditugaskan ke Malaysia pada pertengahan tahun 1990-an, saya sangat kagum dengan sifat rakyatnya. Mereka sangat mesra dan sangat baik.

Sebelum saya ditugaskan ke Malaysia buat kali pertama pada pertengahan tahun 90-an (sebagai Kaunselor), saya telah mengadakan rundingan dan berhubungan dengan orang Rusia, Amerika dan Eropah. Ia adalah kali pertama saya datang ke mana-mana negara di Asia. Saya dapati walaupun Malaysia adalah negara asing, saya tidak fikir ia negara asing. Rakyatnya sangat dekat dengan kami bukan sahaja bentuk dan wajah, tetapi perasaan dan hati sangat dekat. Saya gembira.

Kedua, ekonomi yang merupakan satu lagi perkara yang mempunyai kesan yang kuat terhadap diri saya sendiri. Malaysia bergerak ke arah status negara maju, Malaysia telah melebihi AS$10,000 dolar per kapita, saya rasa nombor dua dalam negera-negara Asean.

Malaysia pernah menjadi negara yang bergantung kepada sumber asli dalam pembangunan ekonominya, tetapi secara beransur-ansur beralih ke arah yang dipacu teknologi dan bertumpu perkhidmatan. Saya fikir status pembangunan dan peringkat ekonomi Malaysia ini sangat mengagumkan saya. Oleh itu saya yakin industri Jepun dan juga kerajaan Jepun ingin mewujudkan perkongsian yang baik dengan industri Malaysia untuk meningkatkan tahap pembangunan pengurusan ekonomi di Asia Timur.

Ketiganya, politi, orang kadangkala memberi komen bahawa politik Malaysia sangat ‘warna-warni’ tetapi bagi saya, ahli politik Malaysia sangat rajin, sangat serius semasa berbincang sesama mereka untuk kebaikan negara. Saya fikir walaupun perdebatan kadang-kadang kasar dan konfrontasi, saya fikir mereka sebenarnya berdebat demi kebaikan seluruh negara.

Jadi saya sangat menghargai cara mereka terlibat dalam perdebatan, bukan hanya di Parlimen tetapi juga Kabinet. Semasa menteri berkumpul, saya dengar, mereka berbahas dan membincangkan tiga jam hingga empat setengah jam sesama mereka tanpa sebarang bantuan birokrasi untuk membincangkan bagaimana mereka perlu membuat dasar dan melaksanakan projek baharu mereka dan bagaimana memutuskan dasar-dasar kerajaan.

Keempat, pendidikan. Kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia telah menekankan soal pendidikan, dan ini suatu yang sangat baik bagi saya. Nampaknya sangat tegas dan kukuh dan orientasi yang baik ke arah masa depan.

Kami rakyat Jepun, di negara kami, Jepun, telah memberi penekanan kepada pendidikan sejak bertahun-tahun, mewujudkan sumber manusia baharu yang mantap yang seharusnya menjadi dasar negara kita dan ini juga harus diterapkan kepada Malaysia. Kerajaan Malaysia dan sikap serius rakyat dan dasar untuk mengintegrasikan pendidikan amat mengagumkan saya. Saya amat berbangga dengan sikap mereka terhadap pendidikan.

Kami juga gembira dengan penekanan Perdana Menteri mengenai keperluan untuk mengadakan semula Dasar Pandang Ke Timur. Kami sangat gembira mengetahui hasrat beliau untuk mengintegrasikan semula dasar pendidikan, dengan senang hati sedia membantu dan bekerjasama dengan usaha ikhlas beliau dalam mengukuhkan dasar pendidikan.

Seperti yang anda ketahui, kami telah diminta oleh Tun Dr Mahathir untuk mendirikan kampus cawangan baharu universiti kami, Universiti Tsukuba, buat kali pertama. Besok (hari ini), presiden universiti datang ke Malaysia untuk mengadakan perbincangan akhir mengenai lokasi, modaliti penubuhan kampus cawangan itu.

Tahun depan, saya menjangkakan mereka akan membuat pra-pembukaan universiti. Kampus pertama sebuah universiti Jepun di luar Jepun. Saya sebenarnya gembira melihat perkara berlaku kerana tanpa permintaan Dr Mahathir, kerajaan kami tidak akan mempertimbangkannya dengan serius. Ia berlaku tepat pada masanya (semasa saya menjadi duta).

Tanggapan saya tentang negara ini … Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan pelbagai agama. Sudah tentu, atas sebab ini, kerajaan dan rakyat anda telah menggunakan kebijaksanaan untuk mengekalkan kestabilan dan aktiviti yang mantap daripada campuran pelbagai kaum dan agama.

Jepun adalah sebuah negara yang sangat unik, sangat homogen. Tetapi orang-orang kita, terutamanya golongan muda, berasa tidak selesa apabila mereka pergi ke luar negara untuk kali pertama. Dan kerana ketidakselesaan ini, mereka mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru selain Jepun. Ini telah menyekat aktiviti belia kita di luar negara dan, pada tahap tertentu, melemahkan penglibatan kita di luar negara, terutamanya (dalam kalangan golongan muda).

Malaysia tidak perlu menghadapi masalah sedemikian memandang sudah menjadi negara berbilang agama. Apabila mereka (rakyat Malaysia) ke luar negara, mereka tidak perlu bimbang tentang persekitaran yang berbeza dan dapat menyesuaikan diri dengan mudah. Saya cemburu dalam hal ini dan untuk ini Malaysia ini sudah menjadi negara global dan rakyat Malaysia sudah menjadi warga global.

– BERNAMA


Pengarang :