AGENDANASIONAL

Tun M tidak terlibat dalam penerbitan komik

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah terlibat dalam penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama’ atau mengetahui isi kandungannya.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan semalam menyatakan, pihaknya mengambil maklum mengenai isu komik berkenaan yang sedang tular di media sosial baru-baru ini.

“Di dalam komik itu tertera gambar Tun Dr Mahathir Mohamad dan keterangan yang menyebut buku komik ini dihadiahkan kepada Presiden Xi Jinping oleh Perdana Menteri sendiri semasa pertemuan dua hala sewaktu di Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa ke-2.

“Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa buku ini bukan hadiah rasmi semasa pertemuan berkenaan dan ia dibawa tanpa melalui prosedur dan saluran yang betul,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Dr Mahathir juga tidak pernah memberi persetujuan gambar beliau diguna pakai untuk apa-apa tujuan atau memberi kebenaran agar komik berkenaan diedarkan di sekolah.

Media hari ini melaporkan Kementerian Dalam Negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit dalam penerbitan dan pengedaran komik didakwa berunsur propaganda yang dipercayai diedarkan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsdaan (SJK) di negara ini.

– BERNAMA


Pengarang :