Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNPENDIDIKANSELANGOR

UiTM disaran adakan latihan kebakaran di rumah ibadah

SHAH ALAM, 23 OKT: Kejayaan Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) dengan peserta paling ramai dalam latihan kebakaran, wajar dicontohi semua pihak.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, program sama turut boleh diperluaskan di rumah ibadah.

“Ada rumah ibadah yang tidak mempunyai kelengkapan pemadam kebakaran dan tahap keselamatan juga pada tahap rendah sehingga tabung pun mudah dicuri.

“Justeru, saya cadangkan supaya UiTM memperluaskan latihan kebakaran membabitkan masjid, surau, tokong, kuil dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil The Malaysia Book Of Records sempena kejayaan mencatatkan rekod penyertaan terbesar kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dalam latihan keselamatan elektrik, keselamatan kebakaran dan pertolongan cemas di Selangor dan Kuala Lumpur di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM di sini, hari ini.

Najwan Halimi dan Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin pada Majlis Penyampaian Sijil The Malaysia Book of Records sempena kejayaan Program Penyertaan Terbesar Taska Dalam Latihan Keselamatan Elektrik, Keselamatan Kebakaran Dan Pertolongan Cemas di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 23 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir, Professor Bersekutu Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin dan Pegawai Penyelidik MBOR, Nurul Fatihah Mahmood.

Najwan berkata, UiTM juga boleh mengambil kesempatan ini untuk mendekatkan masyarakat dengan Fakulti Kejuruteraan institusi pengajian tinggi terbabit.

Menyentuh kejayaan pelajar semester tujuh fakulti sama mencipta rekod itu, Najwan berkata, program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan tetapi mampu memberi manfaat kepada pengusaha Taska.

Katanya, program itu juga memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak tentang langkah yang perlu diambil apabila berhadapan dengan situasi kecemasan.

“Kita yang sudah dewasa faham situasi kecemasan, apa yang perlu dibuat tetapi anak-anak di Taska belum faham bagaimana untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Terdahulu, seramai 3,272 kanak-kanak daripada 95 Taska di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur menyertai latihan kebakaran yang diselia pelajar semester ketujuh fakulti terbabit.


Pengarang :