AGENDANASIONAL

UiTM: Siasatan dalaman isu pelajar terbabit bahas kontroversi

SHAH ALAM, 16 OKT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menjalankan siasatan dalaman secara adil dan menyeluruh susulan dua penuntutnya dikaitkan dengan debat kontroversi di sebuah sekolah.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim berkata, Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 itu mencetuskan kemarahan beberapa pihak ekoran tajuk diberikan menghina Islam dan tidak sensitif kepada hukum agama.

Katanya, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, UiTM memandang serius terhadap sensitiviti agama dan budaya masyarakat di Malaysia.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga yang cuba untuk mengganggu atau memperlekehkan perkara itu.

“Pihak pengurusan akan menjalankan siasatan dalaman secara adil dan menyeluruh, jika didapati pelajar itu melakukan kesalahan bertentangan dengan mana-mana undang-undang UiTM dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Semalam dilaporkan debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak yang berlangsung di Sekolah Dato’ Abdul Razak Negeri Sembilan menjadi kontroversi dan mendapat kecaman pelbagai pihak selepas tajuk debat dipercayai memesongkan akidah umat Islam sehingga tular di media sosial.

Dr Mohd Azraai berkata, kedua-dua pelajar berkenaan juga tidak memaklumkan kepada universiti berhubung pembabitan mereka sebagai ketua juri dan panel pemilih usul.

Katanya, pihak penganjur pertandingan menghubungi kedua-dua individu berkenaan untuk menjadi ketua juri bagi pertandingan berkenaan secara terus.

“Oleh yang demikian penyertaan mereka dalam pertandingan debat itu berlaku tanpa pengetahuan pihak UiTM,” katanya.

Sementara itu siasatan Kementerian Pendidikan mendapati Prosedur Operasi Standard dalam pemilihan usul debat berkenaan tidak dipatuhi.


Pengarang :