Kerajaan membentangkan rang undang-undang bagi memberi perlindungan kepada penderma makanan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2019.
AGENDANASIONAL

Undang-undang lindungi penderma makanan dibentang di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kerajaan hari ini membentangkan rang undang-undang bagi memberi perlindungan kepada penderma makanan.

Ia dikenali sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Penderma Makanan 2019 yang memperuntukkan perlindungan bagi penderma makanan daripada apa-apa liabiliti sivil.

RUU itu dibentang bagi bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen di Dewan Rakyat hari ini.

Perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan kali ini yang berlangsung sehingga 5 Disember.

Menurut buku RUU itu yang diedarkan kepada media hari ini, ia antara lain menyebut penderma makanan akan terlindung daripada sebarang liabiliti jika terdapat kecederaan diri, penyakit dideritai oleh mana-mana orang atau kematian mana-mana orang diakibatkan oleh penderma makanan kecuali dapat dibuktikan beberapa perkara yang boleh membuktikan kekhilafan penderma makanan.

Perkara-perkara itu antaranya ialah jika dapat dibuktikan bahawa kecederaan diri, penyakit atau kematian disebabkan oleh kecuaian atau salah laku yang disengajakan oleh penderma makanan.

Selain itu, makanan didermakan pula dikategorikan sebagai tidak selamat untuk dimakan pada masa makanan itu diderma atau diedarkan kepada mana-mana orang dan, terakhir, pendermaan atau pengedaran makanan tidak dilakukan dengan suci hati.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata, penaja, penderma dan pihak berkaitan Program Food Bank Malaysia akan dilindungi dengan akta khas apabila rang undang-undang mengenainya dibentangkan di Dewan Rakyat, akhir tahun ini.

Turut dibentangkan untuk bacaan kali pertama hari ini ialah RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019, RUU Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2019, RUU Mata Wang 2019 dan RUU Bank Negara Malaysia (Pindaan) 2019.

– BERNAMA


Pengarang :