AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Undang-undang lindungi penderma makanan dilulus

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Kerajaan sedang merancang untuk memperbanyakkan lagi mesin pembungkusan ‘retort’, yang membolehkan makanan yang didermakan disimpan dan tahan lebih lama.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah mesin retort yang banyak dapat membantu menyimpan lebihan makanan dengan lebih baik sebelum diagih kepada mereka yang memerlukan.

“Rancangan kami untuk banyakkan lagi mesin retort ini di dapur-dapur hotel dan kalau musim banjir kita tidak lagi bercakap mengenai sardin dan ikan masin, tetapi ia merupakan bekalan dari hotel iaitu makanan yang kita retort.

“Melalui mesin ini, lebihan makanan di dapur hotel yang tidak disentuh sebagai contoh dalam bulan Ramadan, akan dimasukkan dalam bekas kedap udara, dan dipanaskan pada 125 darjah celsius selama 25 minit dan keluarkan seterusnya makanan itu kita hantar ke makmal dan ia selamat untuk di makan untuk tempoh satu tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Penderma Makanan 2019 pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

RUU yang memperuntukkan perlindungan bagi penderma makanan daripada apa-apa liabiliti sivil itu diluluskan, setelah bacaan kali ketiga di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

RUU Perlindungan Penderma Makanan 2019 itu antara lain menyebut penderma makanan akan terlindung daripada sebarang liabiliti, jika terdapat kecederaan diri, penyakit dideritai oleh mana-mana orang atau kematian mana-mana orang diakibatkan oleh penderma makanan, kecuali dapat dibuktikan beberapa perkara yang boleh membuktikan kekhilafan penderma makanan.

Perkara-perkara itu antaranya ialah jika dapat dibuktikan bahawa kecederaan diri, penyakit atau kematian disebabkan oleh kecuaian atau salah laku yang disengajakan oleh penderma makanan.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pihaknya telah menjalankan projek perintis ‘mobile food bank’ yang digerakkan ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Lembah Klang, untuk disumbangkan kepada penduduk yang memerlukan.

Kami berkolaborasi dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjayakan ‘mobile food bank’ di beberapa kawasan flat di mana lori yang lengkap dengan ‘chiller’ disediakan, membawa bekalan makanan dari pasar raya (AEON, TESCO atau MYDIN) dan bergerak untuk diberikan kepada kawasan yang dihuni oleh golongan bawahan,” katanya.

Turut diluluskan RUU Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2019 yang antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi jawatan Timbalan Presiden Mahkamah Perusahaan, untuk memberi kuasa kepada Ketua Pengarah sebagai ganti kuasa Menteri bagi merujuk aduan kepada Mahkamah Perusahaan, untuk sebarang perbicaraan berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat disambung hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :