PENDAPATRENCANA

Universiti Limkokwing lambang Malaysia di Afrika

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

MASERU (Lesotho), 23 OKT: Majlis konvokesyen Universiti Teknologi Kreatif (Limkokwing) yang berlangsung awal September lalu di ibu negeri Lesotho di sini, merupakan acara yang sangat meriah.

Meskipun terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer dari kampus ke dewan konvokesyen, kegembiraan graduan sesi 2019 yang siap mengenakan jubah akademik itu begitu terserlah sambil mereka menari-nari dan bersorak gembira.

Lebih menarik, graduan berkenaan turut memalukan kompang, alat muzik tradisi Melayu dari Malaysia mengikut rentak tersendiri sepanjang berarak menuju ke dewan konvokesyen.

Orang ramai yang menyaksikan gelagat graduan ini turut teruja dan sama-sama bersorak gembira.

Walaupun jarak cawangan Universiti Limkokwing Lesotho lebih 8,000 kilometer dari Malaysia, Jalur Gemilang tetap berkibar megah di bumi Afrika ini.

(Dari kiri ke kanan) Menteri Pendidikan dan Latihan Lesotho, Prof Ntoi Rapapa, Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing , Tan Sri Dr Lim Kok Wing dan Ratu Lesotho, Ratu Masenate Mohato Seeiso bergambar selepas baginda Ratu menyerahkan ‘Poster Terima Kasih’ pada Majlis Konvokesyen Class of 2019 awal Oktober lalu. Foto Ihsan Limkokwing

Sesungguhnya, Malaysia sangat dikenali dalam kalangan penduduk Lesotho.

Dek kerana Malaysia begitu sinonim di bumi Lesotho, sebaik sahaja penulis tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Moshoeshoe I, pegawai imigresen yang terlihat pasport Malaysia terus bertanyakan sama ada penulis merupakan sebahagian daripada rombongan Universiti Limkokwing.

Nampaknya di Lesotho, Limkokwing ialah lambang negara Malaysia dan Malaysia pula adalah Limkokwing.

Berinovatif, melakukan perbezaan

Ketika berada dalam kalangan kakitangan dan pelajar Limkokwing, penulis sempat mengamati budaya kerja yang diamalkan di dalam organisasi Limkokwing – antaranya bersikap inovatif, kerja berpasukan, berfikiran positif dan mencipta perbezaan.

Seorang mahasiswa Pearl Lawrence, 24, yang memiliki ciri-ciri sedemikian dan menerima anugerah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa pada majlis itu sungguh bersemangat mengenai masa depanya.

Beliau yang juga penerima Anugerah Kepimpinan Tan Sri Limkokwing tidak sabar untuk memulakan pergerakan wanita yang diilhamkan beliau -‘She’s Outta Your League’. Pergerakan ini bertujuan mendidik wanita dalam komuniti beliau untuk berdikari dan mengelak daripada terus ditindas.

Ia ekoran Pearl sendiri pernah menjadi mangsa serangan seksual.

“Banyak peristiwa berlaku pada saya ketika tahun pertama pengajian. Saya telah diserang secara seksual dan hampir patah semangat. Namun, saya tetap cekal dan tidak berputus asa.

“Saya bertunang dengan lelaki yang suka mendera. Tetapi hari ini, saya berjaya menamatkan pengajian. Kejayaan saya ini menyedarkan saya untuk terus bekerja keras kerana kejayaan tidak datang bergolek,” katanya.

Menurut Pearl, semasa di universiti beliau sering disisihkan rakan sebaya kerana beliau berbeza daripada yang lain dan universiti itu menjadi pilihan kerana ia menyediakan platform dan sokongan yang diperlukannya.

“Apabila saya ke sini (Limkokwing) situasinya begitu unik. Setiap orang berbeza dengan cara tersendiri, namun kita saling melengkapi. Semua individu yang ingin menjadi berbeza, berfikir di luar kotak ada di sini dan sinilah yang terbaik,” kata Pearl.

Insprirasi untuk berubah

Ibu Pearl, Margaret Mamolise Lawrence, 49, yang sentiasa mengukirkan senyuman pada majlis konvokesyen itu berkata, beliau gembira kerana anak perempuannya memilih Universiti Limkokwing sebagai sistem sokongannya ketika keluarga mereka mengalami waktu-waktu yang sukar.

Ibu kepada dua anak ini yang pernah lumpuh dari paras pinggang berkata, beliau terinspirasi dengan kejayaan anak perempuannya dan kini merancang untuk melanjutkan pelajaran buat dirinya sendiri.

“Saya sebenarnya sedang menunggu dia (anak) menyelesaikan pengajiannya kerana kami tidak mampu menanggung kos. Kini giliran saya pula untuk mengejar cita-cita,” katanya.

Sementara itu, alumni dan pensyarah Limkokwing, Tseliso Albert Mojela yang berasal dari Kampung Ha-Monyake terletak kira-kira 30 kilometer dari kampus itu berkata, beliau berharap dapat membawa inspirasi perubahan kepada komunitinya.

Mojela, orang kelainan upaya yang lumpuh kedua-dua kakinya bergerak menggunakan kerusi roda yang dijulukinya sebagai “My Mercedes-Benz” mengakui bahawa universiti Limkokwing menyediakan platform untuk beliau mengubah hidupnya dan mendorong beliau menjadi antara yang terbaik dan berbeza berbanding pelajar lain.

“Sesungguhnya, Limkokwing mengubah hidup saya dan kebanyakan orang di Lesotho,” katanya menambah, beliau mahu terus menabur bakti kepada masyarakatnya.

“Saya tidak mahu orang sekadar mengatakan mereka ingin menjadi seperti Mojela, sebaliknya saya mahu mereka mengatakan bahawa mereka ingin mengecapi kejayaan lebih daripada apa yang Mojela capai,” katanya.

Dialog antarabangsa Langkawi

Limkokwing, adalah antara universiti Malaysia yang terkenal untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat antarabangsa di Afrika dan membuka kampus di Lesotho sejak 2008. Setelah lebih 10 tahun bertapak di Afrika, Limkokwing kini mempunyai kampus di Bostwana, Eswatini dan Sierra Leone.

Pengasas dan Presidennya, Tan Sri Dr Lim Kok Wing ketika ditemui Bernama baru-baru ini di Lesotho berkata, peluang untuk mendirikan kampus di benua Afrika itu menjadi kenyataan melalui inisiatif Tun Dr Mahathir Mohamad serta kejayaan penganjuran Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) pada tahun 1995.

Semasa dialog pertama itu, Dr Mahathir yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri berjaya menarik kehadiran ramai pemimpin Afrika ke persidangan tersebut.

“Pada masa itulah, saya bertemu dengan ramai pemimpin Afrika dan kami (universiti) dipelawa untuk membuka kampus di sana. Kami mendambakan penganjuran majlis dialog seperti LID untuk diadakan kembali,” katanya sambil melahirkan minat dan sokongan untuk Malaysia menjadi tuan rumah dialog antarabangsa.

“Kita (Malaysia) juga perlu memasuki pasaran baharu seperti Caribbean. Kita (Malaysia) perlu berada di barisan depan (pendidikan),” katanya.

Sejak 2008, Universiti Limkokwing Lesotho telah melahirkan lebih 8,000 orang siswazah.

Untuk perancangan masa depan, Limkokwing bersedia untuk membuka kampus di Namibia, Uganda, Nigeria, Rwanda dan Afrika Selatan.

Mentranformasikan Lesotho melalui pendidikan

Majlis konvokesyen Universiti Limkokwing yang berlangsung pada 5 September lepas, dihadiri beberapa orang kenamaan termasuk Ratu Lesotho, Masenate Mohato Seeiso, Timbalan Perdana Menteri, Dr Monyane Moleleki, Menteri Pendidikan dan Latihan Prof. Ntoi Rapapa dan beberapa pegawai tinggi kerajaan.

Ratu Masenate Mohato Seeiso dalam perutusan tahniah yang dipetik dari buku konvokesyen berkata, Universiti Limkokwing membawa dimensi gaya baharu pendidikan kepada Lesotho yang meyaksikan kemajuan budaya dan teknologi tercetus serta saling lengkap melengkapi.

Sementara itu, Perdana Menteri, Dr Motsoahae Thomas Thabane berkata, keputusan kerajaan mempelawa Limkokwing merupakan langkah radikal tetapi proaktif demi untuk mempelbagaikan pendidikan tertiari negara itu.

Langkah berkenaan sekali gus membantu Lesotho untuk menerima ledakan revolusi perindustrian keempat.

“Melalui penempatan mahasiswa Limkokwing ke dalam industri dan ekonomi telah menyaksikan Lesotho menuju ke arah kepelbagaian yang lebih mantap, dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup abad ke-21 dan pengenalan kemahiran asing dalam ekonomi negara serta pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing,” kata Dr Motsoahae.

– BERNAMA


Pengarang :