Sesi dialog bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari selepas Program Hi-Tea sempena Jelajah Maju Bersama YAB Dato Menteri Besar di Universiti Teknologi Mara, (UiTM) Kampus Puncak Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Universiti medan teroka perkara baharu bukan tempat cetak ilmu

KUALA SELANGOR, 14 OKT: Universiti tidak sepatutnya dijadikan tempat mencetak ilmu secara ‘copy paste’ sebaliknya mahasiswa perlu ada budaya meneroka perkara baharu, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, mencari ilmu baharu sememangnya menyakitkan, namun keyakinan dan keberanian berfikir sendiri adalah nilai penting yang sepatutnya wujud dalam diri seseorang mahasiswa.

“Kita tidak perlu menjadi seperti Al Ghazali sehingga dipanggil gila untuk mewujudkan karya-karyanya, sedangkan hari ini negara sudah mempunyai pelbagai alat moden dan tradisional membolehkan penerokaan ilmu baharu.

“Jika statik dan tidak dinamik serta hanya mengulang formula ilmu yang lepas, sudah tentu kita tidak akan dapat menempa kejayaan,” katanya.

Pelajar UiTM yang hadir bergambar bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ketika Program Hi-Tea sempena Jelajah Maju Bersama YAB Dato Menteri Besar di Universiti Teknologi Mara, (UiTM) Kampus Puncak Alam pada 14 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hi-Tea sempena Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini, petang tadi.

Hadir sama EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim dan Rektor UiTM cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, Prof Dato’ Dr Abu Bakar Abdul Majeed.

Pada majlis sama, hampir 200 mahasiswa diberi peluang mengutarakan pelbagai pandangan serta pertanyaan kepada Dato’ Menteri Besar.

Mahasiswa UiTM mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ketika Program Hi-Tea sempena Jelajah Maju Bersama YAB Dato Menteri Besar di UiTM Kampus Puncak Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin yang juga EXCO Pendidikan berkata, mahasiswa perlu sedar wujudnya perbezaan antara generasi dahulu dan kini dalam merebut peluang dan kerjaya.

“Zaman sekarang cabaran lebih besar, kita rancang pun belum tentu dapat, justeru ia memerlukan langkah dan keupayaan sangat tinggi serta paling penting akarnya ialah untuk maju.

“Mahasiswa yang ingin berjaya perlu ada sikap dan pendirian untuk menjadi terbaik,” katanya.


Pengarang :