AGENDANASIONAL

Usahawan jangan terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan

PUTRAJAYA, 19 OKT: Usahawan luar bandar diingatkan supaya menguasai teknik pemasaran dalam talian bagi memastikan produk mereka dapat berkembang di pasaran dengan lebih pantas, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata strategi itu dilihat efektif bagi membantu golongan usahawan menguasai pasaran domestik dan menembusi pasaran global memandangkan kebanyakan daripada mereka bergantung kepada pasaran domestik dan hanya sebahagian kecil untuk pasaran eksport.

Selain itu katanya ia dapat mengatasi cabaran yang dihadapi usahawan seperti kualiti produk dan perkhidmatan, jaringan pemasaran yang lemah dan tidak meluas, tiada pensijilan, strategi yang tidak berkesan dan kurang promosi.

“Di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga, terdapat Program Desamall@Online yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan luar bandar bagi memasarkan produk secara dalam talian di platform Lazada, Shopee dan PrestoMall,” katanya ketika berucap pada Karnival Usahawan Desa 2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya kerajaan akan menambah baik ekosistem keusahawanan sedia ada bagi menyokong usaha melahirkan usahawan desa berjaya, sekali gus meneruskan agenda pemerkasaan pembangunan komuniti itu.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Rina berkata nilai jualan berjumlah RM14.74 juta berjaya direkodkan sepanjang dua hari karnival berkenaan diadakan.

“Nilai jualan itu adalah untuk dua hari iaitu bagi Khamis dan semalam (Jumaat) dan sasaran jualan dan tempahan keseluruhan bagi lima hari penganjuran sehingga Isnin ini adalah RM40 juta,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :