Selepas 80 tahun beroperasi kini akhbar tertua di negara ini menutup operasinya bermula hari ini.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Utusan Melayu akhiri operasi hari ini

SHAH ALAM, 9 OKT: Selepas hampir 80 tahun, syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad mengakhiri operasi hari ini, susulan kemerosotan yang dihadapinya sejak Mei tahun lalu.

Perkhabaran duka itu dimaklumkan Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam satu memorandum pekeliling selepas Lembaga Pengarah Utusan meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator) pada 7 Oktober.

Katanya, langkah ini terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk meletakkan syarikat kepada kedudukan yang lebih kukuh dan terjamin.

“Antara langkah yang diambil ialah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang menyaksikan lebih 700 kakitangan melepaskan jawatan mereka. Ini adalah pemberhentian kerja berskala besar yang terpaksa dilakukan bagi kelangsungan syarikat.

“Syarikat juga telah berusaha menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi. Namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan gagal dicapai menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat.

“Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak. Syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang – pemiutang,” katanya.

Memorandum sama turut memaklumkan hari ini adalah hari terakhir semua kakitangan bekerja manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019.

Abd Aziz memaklumkan kelayakan untuk faedah penamatan kerja adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan ini akan dikendalikan oleh pihak pelikuidasi.

Selain itu, satu taklimat kepada semua kakitangan daripada pihak pelikuidasi akan diadakan pada jam 3.00 petang 30 Oktober di Dewan Besar Utusan.


Pengarang :