AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Vape, kes bunuh diri tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Langkah kerajaan untuk mengatasi masalah sindiket ceti haram atau ‘ah long’ yang kian berleluasa, dijangka antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan bermula dengan sesi jawab lisan dan antara soalan yang akan dikemukakan ialah daripada Pak Hong Liong (PH-Labis) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan menggubal Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, untuk mengenakan hukuman penjara mandatori kepada mereka yang terlibat.

Tidak kurang menariknya soalan yang dikemukakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PH-Masjid Tanah) tentang langkah yang diambil Kementerian Kesihatan, bagi membendung penjualan dalam talian rokok elektronik dalam kalangan remaja bawah umur.

Kementerian Kesihatan sebelum ini dilaporkan sedang mengkaji untuk melaksanakan larangan sepenuhnya penjualan vape atau rokok elektronik di negara ini.

Walaupun belum ada sebarang keputusan mengenai perkara itu, kerajaan dilaporkan sudah mengambil langkah proaktif dengan merangka rang undang-undang merangkumi kawalan terhadap rokok elektronik dan vape yang dijangka dibentang di Parlimen, selewat-lewatnya tahun hadapan.

Selain itu, R Sanisvara Nethaji Raja (PH-Jelutong) meminta Kementerian Kesihatan menjelaskan langkah yang diambil untuk mengurangkan kes bunuh diri yang semakin meningkat.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember.

-BERNAMA


Pengarang :