Skuad kebangsaan melalui perubahan dan mencatat kejayaan membanggakan pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan ke-2 lalu. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Vietnam terkejut perubahan drastik Harimau Malaya

HANOI, 10 OKT: Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang Seo agak terkejut dengan perubahan drastik yang ditunjukkan pasukan Harimau Malaya dalam tempoh 10 bulan, sejak kedua-dua pasukan itu bertemu dalam perlawanan final Piala AFF 2018, Disember tahun lepas.

Vietnam muncul juara di hadapan penonton fanatik mereka di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi dengan agregat 3-2 selepas menewaskan anak buah Tan Cheng Ho, 1-0 pada perlawanan final.

Mengakui pasukan Malaysia kini berada pada tahap berbeza, jurulatih berusia 60 tahun dari Korea Selatan itu berkata, beliau tidak pasti sama ada anak buahnya akan menghasilkan keputusan yang sama, apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam ini.

“Sebagai persediaan untuk perlawanan itu, kami telah bersedia dalam setiap sektor pasukan dan secara jujurnya saya tidak mengambil kisah sangat mengenai keputusan sebelum ini, kerana ia telah berlalu dan kami kena fokus dan maju kehadapan.

“Dan saya boleh katakan yang saya tidak pasti 100 peratus yang kami boleh kalahkan Malaysia malam ini, namun kami perlu lakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita pada sidang media praperlawanan di Ibu Pejabat Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pemainya yang bermain di Eropah, Hang Seo berkata, Cong Phuong, seorang pemain bahagian serangan kelab Belgium Sint-Truidenwas bersedia untuk dimasukkan dalam senarai pemain untuk perlawanan malam ini.

Manakala, Van Hau yang bermain bersama Heerenveen di Belanda, masih tidak pulih sepenuhnya kerana ‘jet lag’.

Berdasarkan statistik, Malaysia sekadar meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri dalam 10 pertemuan menentang Vietnam.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung menyaksikan skuad bimbingan Park Hang Seo menang 1-0, sekali gus merangkul Piala AFF 2018 dengan keputusan agregat 3-2.

Malaysia kini berada di tempat ketiga kumpulan dengan tiga mata, manakala Vietnam di tempat keempat dengan satu mata selepas seri 0-0 dengan Thailand pada perlawanan pembukaan kumpulan mereka.

– BERNAMA


Pengarang :