PENDAPATRENCANA

Waspada bahaya penjualan ubat dalam talian

Isu berkaitan pengguguran bayi menggunakan misoprostol adalah antara ribuan contoh kes penyalahgunaan ubat tanpa mendapat nasihat pakar perubatan dan akhirnya mengundang maut.

Lebih menyedihkan, sejak 2015 hingga 2017 terdapat lima kes kematian direkodkan susulan tindakan melangkaui pertimbangan akal semata-mata untuk menggugurkan janin.

Penggunaan Misoprostol memberikan kesan buruk kepada wanita mengandung khususnya kerana ia boleh meningkatkan pengecutan otot rahim.

Misoprostol adalah sejenis ubat terkawal yang terdapat dalam dua bentuk iaitu tablet dan pesari (ubat berbentuk pepejal) malah hanya boleh dibekalkan kepada pesakit dengan preskripsi doktor.

Pengambilan ubat yang dibeli menerusi dalam talian dari sumber tidak sah tanpa nasihat pakar perubatan sebenarnya boleh mengundang ancaman kesihatan berpanjangan.

Tawaran iklan ubat yang dipamerkan khususnya di laman sosial sebenarnya satu ‘perangkap’ buat pengguna sedangkan proses pembuatannya belum dapat dipastikan serta tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM memandang serius penjualan ubat-ubatan secara dalam talian dan pengiklanan dengan pelbagai tuntutan yang diragui kesahihannya.

Sikap tidak berhati-hati dengan hanya bersandarkan kepada ‘ikhtiar’ semata-mata sebenarnya meletakkan pengguna berisiko mendapat ubat tidak berdaftar, ubat tiruan atau ubat dicampur Racun Berjadual yang boleh mengancam nyawa.

Selain itu, pembelian ubat atas talian dari sumber tidak sah menyebabkan pengguna terdedah kepada iklan produk dengan pelbagai testimoni meragukan, iklan tiada kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU) dan kesan sampingan ubat.

Di samping itu, pengguna berpotensi mendapat maklumat tidak tepat kerana konsultasi daripada individu tidak bertauliah, produk yang dirampas di pintu masuk negara serta penipuan.

Atas dasar ini, KKM melalui Program Perkhidmatan Farmasi terus mempergiatkan usaha dalam memberikan kesedaran kepada pengguna melalui Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian sepanjang Oktober 2019.

Kempen kesedaran dengan slogan #biarbetuliklanni! akan turut dijalankan sewaktu Program Santuni Rakyat, Kenali Ubat Anda.

Kempen ini diadakan bertujuan memberi pendidikan kepada pengguna tentang risiko pembelian ubat secara dalam talian dan membolehkan mereka membuat pertimbangan wajar dengan menyemak terlebih dahulu semua maklumat yang terkandung dalam iklan ubat di internet.

Tanda pagar #biarbetuliklanni! adalah slogan yang dipilih dalam kempen berkaitan bertujuan untuk menerapkan kewaspadaan di kalangan pengguna supaya tidak mudah percaya iklan ubat dan pelbagai testimoni yang meragukan di internet.

Pengguna juga digalakkan untuk turut sama menularkan infografik waspada pembelian ubat dalam talian serta tanda pagar #biarbetuliklanni! bagi tanda sokongan terhadap kempen ini.

Melalui kempen ini juga pelbagai tips yang berguna sebelum membuat pembelian ubat dalam talian dapat diaplikasikan iaitu pengguna perlu menyemak terlebih dahulu status pendaftaran ubat-ubatan dengan memastikan ubat-ubatan terbabit berdaftar dengan KKM.

Seterusnya membuat semakan pengiklanan ubat-ubatan itu dan memastikan pengiklanannya telah diluluskan LIU.

Berdasarkan statistik KKM, sejumlah 1,142 aduan penjualan ubat dalam talian diterima sepanjang tahun lalu manakala 925 aduan direkodkan sehingga September ini.

Tips pembelian ubat dalam talian:

1. Dapatkan nasihat daripada ahli farmasi sebelum membeli sebarang produk kesihatan.

2. Hanya boleh membeli ubat yang telah berdaftar dengan KKM dikategorikan sebagai ‘over the counter’ (OTC), tradisional dan suplemen kesihatan sahaja dengan No MAL (nombor pendaftaran) diakhiri dengan X, T atau N sahaja). Semak produk ini di www.npra.gov.my atau muat turun aplikasi NPRA Product Status dari Google Play.

3. Ubat yang memerlukan preskripsi (arahan doktor dan cara penggunaan) serta ubat terkawal tidak boleh dijual secara dalam talian (No MAL diakhiri dengan A).

4. Elakkan membeli ubat daripada laman sosial dan penjual luar negara.

5. Kenal pasti premis fizikal penjual yang membuat penjualan dalam talian dan pastikan mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

6. Pastikan iklan ubat mempunyai nombor kelulusan kelulusan Kementerian Kesihatan Lembaga Iklan Ubat (KKLIU).

7. Jangan terpedaya dengan janji manis iklan terutamanya membabitkan penyakit kronik dan peningkatan seksual. Semak iklan ubat yang telah diluluskan di www.pharmacy.gov.my

8. Risiko pembelian ubat secara dalam talian dari sumber tidak sah mungkin menyebabkan pengguna mendapat ubat yang tidak berdaftar, ubat tiruan atau ubat yang dicemari racun berjadual yang boleh memudaratkan nyawa.

Orang awam boleh merujuk Ahli Farmasi iaitu ‘Rakan Ubat Anda’ sekiranya benar-benar ingin membuat pembelian ubat-ubatan melalui dalam talian.

Aduan mengenai penjualan atau pengiklanan ubat dalam talian yang disyaki meragukan melalui laman sesawang www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat moh.spab.gov.my

Penyaluran maklumat juga boleh dilakukan di Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak KKM bagi membanteras penjualan dan pengiklanan produk-produk dilarang di pasaran.


Pengarang :