AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Waytha Moorthy kekal sebagai menteri – Dr Mahathir

PUTRAJAYA 3 Oktober: P. Waytha Moorthy kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri walaupun terdapat desakan beliau dipecat susulan keputusan inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim baru-baru ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tak nampak ada masalah, jadi untuk waktu ini saya masih boleh simpan dia (Waytha Moorthy) sebagai menteri,” katanya kepada media selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Pada Januari lepas, Dr Mahathir dilaporkan membuat kenyataan ekoran peningkatan gesaan supaya Waytha Moorthy dilucutkan jawatan, bahawa beliau akan membuat keputusan mengenai kedudukan Waytha Moorthy sebagai menteri selepas menerima laporan penuh inkues kematian Muhammad Adib.

Mahkamah Koroner pada 27 September lepas memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 27 November tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Muhammad Adib, yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia pada 17 Disember lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden berkenaan.

Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker dilaporkan berkata desakan meletak jawatan itu wajar setelah Waytha Moorthy dilihat gagal memainkan peranan terutama dalam meredakan api perkauman dalam insiden rusuhan di Subang Jaya sehingga mengakibatkan kematian Muhammad Adib.

-BERNAMA


Pengarang :