Amirudin Shari. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

WKB2030 sedia visi pembangunan mampan negara

SHAH ALAM, 5 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamd hari ini sebagai sebuah visi pembangunan yang jelas dan mampan untuk masa depan negara.

Katanya, gagasan itu bakal menjadi nadi penting ekonomi negara khususnya untuk mengubah ekonomi masyarakat termasuk golongan Bumiputera.

“Ia adalah satu misi yang jelas berkenaan hala tuju negara dan membuktikan pentadbiran Putrajaya sekarang sememangnya mempunyai rangka serta perancangan tersusun buat masa depan negara.

“Ia bukan hanya aspek pembangunan ekonomi semata-mata tetapi juga menekankan aspek integriti, pengurusan dan pentadbiran yang cekap.

“Rupanya kegagalan Bumiputera bukan disebabkan penguasaan bangsa asing tetapi kerana gagalnya mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dengan cara tertib dan berdasarkan urus tadbir yang baik.

“Selain itu, keadaan diburukkan lagi apabila amalan rasuah berlaku dengan banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra Bersama Penerima Bantuan Sekolah Agama Rakyat Negeri Selangor Fasa 1 Tahun 2019, di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, di sini, hari ini.

WKB2030 yang dilancarkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) adalah penyusunan semula keutamaan pembangunan Malaysia yang akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2021 tanpa perlu melakukan banyak penjajaran.

Matlamat utama WKB2030 adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia serta menumpukan keberhasilan Bumiputera.


Pengarang :