Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

WKB2030 terus beri peluang kepada Bumiputera

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kerajaan berhasrat melahirkan generasi Bumiputera baharu yang berpegang teguh kepada nilai moral dan integriti melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan Sabtu lepas.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, melalui WKB2030 itu, kerajaan mahu generasi Bumiputera bersikap rajin, berusaha, bermaruah dan bersemangat kental nasionalisme yang ingin menyelamatkan negara serta tidak bergantung kepada orang asing.

“Peluang akan diberikan kepada Bumiputera yang membukti kelayakan dan kemampuan mereka. Bagi mereka yang masih belum layak pula, bantuan dan latihan serta sokongan sewajarnya akan diberikan bagi meningkatkan peluang kejayaan mereka.

“Matlamat akhir segala usaha kerajaan ini adalah untuk memastikan seluruh rakyat tanpa mengira kaum mengecapi taraf hidup wajar menjelang 2030,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi dan sosial di antara Melayu Bumiputera dengan bukan Bumiputera melalui WKB2030.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, dasar baharu WKB2030 itu akan mengatasi kekurangan yang berlaku semasa pentadbiran sebelum ini antaranya mengenai pembolotan harta oleh sesetengah kaum lain serta salah guna di institusi Bumiputera seperti Tabung Haji.

“Semua kesalahan dilakukan dahulu yang menyebabkan gagalnya wawasan yang dicipta waktu itu akan dihapuskan apabila kita melaksanakan dasar WKB2030. Kita tahu Dasar Ekonomi Baru itu gagal mencapai matlamat, jadi kali ini kita tentukan mereka yang dapat peluang hanya yang memang berupaya untuk guna peluang sepenuhnya.

“Hanya kita minta ada kesanggupan rakyat menerima dasar ini yang bukan lagi untuk beri kekayaan mudah dan segera, tetapi kekayaan lebih mampan dan meningkat sepanjang masa. Ini cara kita uruskan wawasan ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang ingin tahu adakah dasar baharu itu dapat menyelesaikan masalah pembolotan harta oleh sesetengah kaum termasuk elit Bumiputera yang menekan golongan pertengahan dan bawahan Bumiputera.

Sabtu lepas, Dr Mahathir berkata, WKB2030 adalah pendekatan baharu bagi memantapkan pencapaian ekonomi negara menerusi inisiatif yang dapat memastikan rakyat dan negara menikmati Kemakmuran Bersama.

– BERNAMA


Pengarang :