AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wujud agensi pemasaran bantu jual produk luar bandar

PUTRAJAYA, 19 OKT: Sebuah agensi pemasaran akan ditubuh untuk menasihat, menunjuk ajar dan berusaha menolong‌ aktiviti pemasaran produk keluaran usahawan luar bandar yang dihasilkan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia merupakan satu daripada strategi yang perlu dilakukan untuk memperluaskan pasaran produk keluaran usahawan luar bandar untuk menguasai pasaran domestik dan menembusi pasaran global.

“Kerajaan melihat bahawa bidang keusahawanan terbukti berkesan untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat luar bandar, seterusnya dapat meningkatkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya pada ucapan perasmian Karnival Usahawan Desa 2019 menerusi rakaman video, di sini, hari ini.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Dr Mahathir berkata, perkara itu pada akhirnya pasti dapat menyumbang kepada usaha merapatkan jurang pendapatan isi rumah antara luar bandar dengan bandar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara usaha lain yang boleh dilakukan adalah dengan membentuk perkongsian pintar antara komuniti usahawan luar bandar dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk dengan pihak swasta bagi meningkatkan jaringan dan rantaian pemasaran pembekalan serta pengeksportan.

“Usahawan luar bandar juga perlu meningkatkan daya saing perniagaan masing-masing melalui penggunaan mesin dan teknologi.

“Penggunaan mesin dalam penghasilan produk mampu meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos serta memastikan konsistensi kualiti produk,” katanya.

KUD 2019 diadakan selama lima hari dari 17 Oktober hingga 21 Oktober bertempat di pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha memupuk budaya keusahawanan, kerajaan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada perusahaan Kecil dan sederhana bumiputera.

“Selain itu RM100 juta turut diperuntukkan sebagai pinjaman oleh usahawan kecil dan ini satu peluang yang wajar direbut oleh usahawan muda terutamanya di luar bandar,” katanya.

Malah katanya, dana berjumlah RM52 juta juga disediakan untuk pelaksanaan pelbagai program keusahawanan dan latihan industri tani supaya dapat menarik penglibatan golongan muda menceburkan diri dalam bidang agromakanan.

– BERNAMA


Pengarang :