Pasukan Yoodo Gank meraikan kemenangan selepas diumumkan juara keseluruhan pertandingan PUBG Mobile dalam Selangor Cyber Games 2019 di Central i-City, Shah Alam pada 27 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Yoodo Gank `hero’ PUBG Mobile SCG 2019

SHAH ALAM, 28 OKT: Cekap mengadaptasi setiap situasi dalam masa singkat membantu pasukan kompetitif, Yoodo Gank menjuarai PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile pada Kejohanan Selangor Cyber Games (SCG) edisi keenam yang melabuhkan tirai malam tadi.

Beraksi cemerlang di hadapan ribuan penonton menerusi pancaran skrin layar di tengah-tengah pusat beli-belah Central I-City di sini, Yoodo Gank mencatatkan secara keseluruhan sebanyak 203 mata dengan 68 mata bunuh dan dua kali Menang Menang Ayam Makan Malam (WWCD).

Ia sekali gus mengenepikan pencabar terdekat, Last Survived R2K yang sekadar meraih 191 mata, 67 pembunuhan dan sekali WWCD pada pusingan ke-16 yang bermain secara perspektif orang ketiga (TPP) itu.

Suasana Selangor Cyber Games 2019 yang berlangsung di Central i-City, Shah Alam pada 27 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Kemenangan terbabit melayakkan Yoodo Gank yang dianggotai Aiman Amirul Mohd Sahid, Mohd Zulfadli Abdul Rahman, Abdul Azim Ikram dan Mohd Hafizuddin Baharudin untuk membawa pulang ‘habuan’ wang tunai RM40,000 berserta piala pusingan.

Selaku Naib Juara, Last Survived R2K pula menerima hadiah wang tunai RM20,000, manakala NED Brotherhood (ketiga) dan Aka ESports Alpha (keempat) masing-masing memperoleh sebanyak RM10,000 dan RM8,000.

Hadiah kemenangan disampaikan Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Generasi Muda Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Jestin Raj.

Dikerumuni wartawan sebaik perlawanan itu, Aiman Amirul berkata, selaku ketua kepada pasukan yang baharu ditubuhkan awal tahun ini, beliau berbangga kerana sekali lagi berjaya menempa kejayaan dalam kategori permainan sama di negara ini.

Katanya, kemenangan itu menjadi pembakar semangat kepada pasukannya untuk menampilkan aksi lebih cekap dan tersusun di Grand Final PUBG Mobile National Championship (PMNC) Bangkok, Thailand, pada 2 hingga 3 November ini.

“Kami akan berangkat ke Bangkok, Thailand esok (hari ini) dalam mempersiapkan diri menghadapi saingan di kejohanan itu dan berharap dapat lakukan yang terbaik bagi kategori yang sama (PUBG Mobile).

“Mungkin kami ada banyak pengalaman kerana sudah bermain untuk mewakili Malaysia sebanyak tiga kali sebelum ini. Atas faktor ini juga kami dapat menjuarai kejohanan ini,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 16 skuad terdiri daripada empat peserta bagi setiap pasukan berentap dalam permainan itu dengan menggunakan dua peta iaitu Erangel dan Miramar.

Ditanya sejauh mana persediaan bagi menghadapi kejohanan pada masa akan datang, jaguh muda kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, dia bersama rakan sepasukan akan mengadakan latihan secara konsisten.

Akuinya, komunikasi dan kepercayaan terhadap rakan sepasukan penting untuk memastikan kemenangan memihak kepada mereka dalam setiap perlawanan.

“Setiap orang dalam pasukan memainkan peranan berbeza, jadi kami akan memperbanyakkan lagi latihan untuk membaca ‘circle’ dan rentak permainan musuh,” katanya.

Difahamkan, Yoodo Gank sebelum ini dikenali sebagai pasukan Gank FTY, namun selepas kejayaan mengungguli PMNC di Vanity Atrium, Sunway Velocity Mall tahun lalu, pasukan terbabit mendapat langganan percuma plan Yoodo selama setahun.

SCG 2019 berlangsung selama dua hari mulai 26 hingga 27 Oktober yang menyaksikan pemain e-sukan dari seluruh Malaysia beraksi bagi merebut hadiah wang tunai terkumpul RM215,000 menerusi empat kategori permainan iaitu PUBG Mobile, Dota 2, FIFA 20 dan Tekken 7.

Acara tahunan ini mendapat kerjasama hebat, MSNS, Majlis Bandaraya Shah Alam, Persatuan E-Sukan Selangor, Penggerak Belia Tempatan, Mineski Event Team Malaysia, Big Machinez, TM Unifi dan Tencent selaku penerbit permainan.


Pengarang :