Prof. Emiritus Datuk Dr Zainal Kling hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan pada 25 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Zainal Kling selesai beri keterangan tiga jam

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Ketua Eksekutif Sekretariat Program Kongres Maruah Melayu, Prof Emiritus Datuk Dr Zainal Kling selesai memberi keterangan selama tiga jam di Bukit Aman berhubung ucapannya pada kongres berkenaan.

Zainal sebelum itu dilihat memasuki Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 10 pagi bersama peguam dan wakil kongres dan meninggalkannya kira-kira pukul 1.00 tengah hari.

Turut diambil keterangan pada hari ini adalah penganjur kongres iaitu Prof Dr Hashim Ismail, yang juga Pengarah Pusat Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Polis Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi hari ini mengesahkan polis mengambil keterangan Zainal dan Hashim.

Rabu lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis akan mengambil keterangan Zainal berhubung ucapannya pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati di Shah Alam, 6 Oktober lepas.

Menurut Huzir, Zainal dipanggil ke Bukit Aman berikutan laporan polis yang dibuat pegawai khas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, baru-baru ini.

Pada kongres itu, Zainal dilapor membuka tirai dengan beberapa kenyataan keras yang menyentuh isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan raja-raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

– BERNAMA


Pengarang :