Exco Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman bersama tetamu jemputan melakukan gimik pelancaran pada Majlis Perasmian Karnival Selangor Youth SYR 2019 di Perkarangan Stadium Melawati Shah Alam, Shah Alam. 2 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

10,000 pengunjung meriahkan SYR 2019

SHAH ALAM, 2 NOV: Kira-kira 10,000 pengunjung memeriahkan Karnival Selangor Youth Revival (SYR) 2019 yang diadakan di Pekarangan Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, sambutan diterima amat menggalakkan dan ia adalah landasan terbaik buat golongan belia khususnya di Selangor.

Katanya, karnival itu bagus dilaksanakan kerana ia tidak hanya fokus kepada golongan belia bersukan sebaliknya Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif mendekati semua peringkat belia.

“Kita berharap golongan belia mengambil inisiatif untuk hadir ke karnival ini sekali gus melibatkan diri dengan pelbagai program yang disediakan.

“Pengisian program juga padat dan masing-masing mempunyai fungsinya tersendiri. Saya berharap karnival ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Perasmian Karnival Selangor Youth Revival 2019 di Pekarangan Stadium Malawati.

Turut hadir, EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

SYR 2019 yang diadakan dua hari bermula hari ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik khususnya membabitkan golongan belia.

Menariknya kali ini, kesemua ahli indie akan kembali bersatu termasuk kumpulan indie terkenal, Butterfigers untuk beraksi di Konsert SYR yang pada malam tadi di Stadium Malawati di sini.


Pengarang :