AGENSISELANGOR

14 anggota polis ditahan bersama air ketum

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Gara-gara air ketum, seramai 14 anggota polis ditahan dalam Op Blue Devil di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Shah Alam, dekat sini, semalam.

Kesemua mereka ditahan oleh anggota Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira 3 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua anggota itu.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat enam kereta peronda polis (MPV) di lokasi kejadian dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua botol minuman disyaki mengandungi air ketum.

“Dua botol minuman itu ditemui berdekatan sebuah kereta MPV polis,” katanya.

Mohd Khalil berkata, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke IPK Selangor untuk siasatan lanjut dan tindakan tata tertib akan dikenakan terhadap anggota yang ditahan.

– BERNAMA


Pengarang :