AGENDANASIONAL

14 peratus Belanjawan #Selangor2020 fokus sektor pendidikan

SHAH ALAM, 1 NOV: Hampir 14 peratus Belanjawan #Selangor2020 fokus kepada sektor pendidikan berbanding 11 peratus tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata sebanyak RM334.15 juta diperuntuk bagi merencana agenda pendidikan unggul.

“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap agenda pendidikan rakyat Selangor. Rakyat berilmu, berhikmah dan berintegriti adalah sumber kekuatan kepada negeri ini, golongan ini akan menjana Selangor menjadi negeri terunggul.

“Kerana itu kita menumpukan usaha yang besar untuk memastikan akses pendidikan kepada segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Antara yang akan difokuskan ialah :

– RM10 juta buat Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) melalui pendanaan khusus oleh Menteri Besar (Pemerbadanan) dan Kumpulan Perangsang Selangor.

– RM3 juta diperuntuk kepada Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) yang memberi manfaat kepada 5,000 penerima.

– RM4 juta diperuntuk bagi Program Selangor BITARA khusus buat rakyat Selangor melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di universiti terkemuka luar negara serta tajaan kepada pelajar tingkatan empat yang cemerlang.

– RM1 juta geran penyelidikan melalui Majlis Konsultasi Akademia-Industri Selangor yang melibatkan naib-naib canselor atau presiden universiti seluruh Selangor.

– RM20 juta bagi pelaksanaan Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS).

– RM1 juta bagi Penganjuran Konvensyen Mahasiswa Selangor di Timur Tengah dan Indonesia dan Program Bakti Siswa Negeri Selangor dan Program Pembangunan Mahasiswa Negeri Selangor.

– RM3 juta bagi pelaksanaan Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor dengan fokus baharu termasuk penyertaan universiti tersohor serantau seperti Mahidol University, Universitas Indonesia, Institut Teknologi Bandung dan National University of Singapore (NUS).


Pengarang :