EXCOSELANGOR

192, 564 pemohon Rumah Selangorku hingga September 2019

SHAH ALAM, 8 NOV: Sejumlah 192, 564 permohonan Rumah Selangorku direkodkan hingga September tahun ini.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, namun jumlah pemohon yang masih aktif dalam Sistem Pendaftaran Rumah Selangorku (SPPR) bagi pemohon belum berjaya ditawarkan atau status senarai menunggu adalah 56,782 orang.

Manakala, katanya, jumlah penerima yang sudah menduduki Rumah Selangorku sehingga September 2019 adalah seramai 14,781 pemohon.

“Dasar Rumah Selangorku hanya mula diperkenalkan pada 2014. Secara keseluruhan sebanyak 277 projek (121,695 unit) Rumah Selangorku diluluskan Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerjaan Negeri (MMKN).

“Sehingga 15 Oktober lalu, sebanyak 38 projek (14,781 unit) Rumah Selangorku sudah siap dibina dan diserahkan kunci,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mulut Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Rizam Ismail berkenaan projek pembangunan Rumah Selangorku pada Sidang Dewan Negeri, di sini.

Haniza berkata, sebanyak 61 projek (22,274 unit) Rumah Selangorku sedang dalam pembinaan manakala baki sejumlah 178 projek (84,640 unit) Rumah Selangorku masih dalam perancangan.


Pengarang :