AGENSISELANGOR

2.5 tan metrik sampah dikutip dari Kampung Bagan Hailam

KLANG, 3 NOV: Sebanyak 2.5 tan metrik sampahberjaya dikutip dalam tempoh hanya sejam di Kampung Bagan Hailam Port Klang menerusi Program Tanggungjawab Sosial Masyarakat KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), di sini, hari ini.

Ketua Perhubungan Awam dan Media KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, Program Clean Up Bagan Hailam itu adalah kerjasama strategik dengan Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA), Tzu Chi Malaysia dan Chevron Phillips Chemical Malaysia.

Katanya, objektifnya adalah untuk memberi kesedaran mengenai pengurusan sisa pepejal kepada komuniti Bagan Hailam terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing yang bekerja di kawasan industri di situ.

“Lebih 100 sukarelawan membersihkan kawasan ‘hotspot’ yang dicemari lambakan sisa pepejal.

“Kami sentiasa menyambut baik sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak dalam menjayakan program seumpama ini, sekali gus mampu memberi manfaat dalam penjagaan alam sekitar.

“Ia selari dengan objektif KDEBWM menjadikan Selangor sebagai negeri bersih, aman dan sejahtera,” katanya kepada SelangorKini.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Naib Presiden MPMA, Datuk Raymond Sng, Pengurus Keselamatan Kesihatan Alam Sekitar Asia Chevron Philip, Chng Kok Wee dan Ketua Kumpulan Zon Klang Sukarelawan Tzu Chi, James Lim.

Kampung Bagan Hailam yang terletak di pesisir Port Klang didiami lebih 100 keluarga termasuk penduduk tempatan dan warga asing.

Mahfuzah berharap penduduk lebih peka menjaga kawasan persekitaran bagi membolehkan komuniti hidup dalam lebih selesa.

“Walaupun KDEBWM bertanggungjawab membuat kutipan sampah, namun kami amat memerlukan kerjasama penduduk untuk peka dalam urusan pembuangan sampah.

“Sekiranya ada barangan yang boleh dikitar semula, lebih baik ia diasingkan terlebih dahulu. Sesungguhnya langkah sebegini dalam melestarikan alam sekitar pada masa depan,” katanya.


Pengarang :