Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar bersama barisan penaja sempena Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting-Selangor 2019 pada 19 November lalu. Foto ihsan Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

224 pemain berentap Kejohanan Tenis Remaja Genting-Selangor

SHAH ALAM, 21 NOV: Seramai 224 pemain dari dalam dan luar negara bakal berentap pada Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting-Selangor 2019 bermula 23 hingga 27 November ini.

Kejohanan edisi ke-17 itu dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Persatuan Tenis Selangor (STA).

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan, sebanyak empat acara dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu lelaki, dan beregu perempuan.

“Selain Malaysia, pemain dari Filipina, Singapura, Vietnam, Indonesia, Uzbekistan dan Tajikistan turut menghantar penyertaan.

“Kejohanan ini akan diadakan di empat lokasi membabitkan Kompleks Sukan MBPJ (Kelana Jaya), Gelanggang Tenis SS 3/14 (Kelana Jaya), Kompleks Sukan PKNS (Kelana Jaya), dan Kompleks Sukan Astaka Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,600 berserta pingat dan sijil penyertaan ditawarkan sepanjang lima hari kejohanan berlangsung.

“Kejohanan ini mendapat sokongan Persatuan Lawn Tenis Malaysia, Majlis Sukan Negeri Selangor dan Unit Sukan, Universiti Teknologi Mara.

“Ia turut dijayakan dengan penajaan daripada Genting Malaysia Berhad selaku penaja utama, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Dunlop Srixon Sports Asia Sdn Bhd,” kata kenyataan itu.


Pengarang :