AGENSISELANGOR

233 kakitangan Utusan mohon zakat

SHAH ALAM, 13 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima permohonan daripada 233 kakitangan Utusan Melayu (Malaysia Berhad) sehingga 17 Oktober lalu, selepas operasi syarikat itu dihentikan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop berkata, nama kakitangan itu diterima secara berperingkat daripada pelbagai sumber.

“LZS akan menjalankan siasatan dan bancian ke rumah berdasarkan haddul kifayah sebelum mereka yang layak didaftar sebagai asnaf sementara.

“Bantuan zakat disalur bergantung kepada keperluan sesebuah keluarga sehingga kehidupan mereka stabil,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Saipolyazan mengalu-alukan kakitangan Utusan lain yang terkesan akibat penutupan operasi itu memohon bantuan zakat melalui penolong amil kariah (PAK) yang dilantik.

“Ia boleh dilakukan di kariah masing-masing atau mengunjungi mana-mana cawangan berhampiran.

“Pemohon boleh mendapatkan maklumat berkaitan jenis bantuan dan borang permohonan bantuan zakat sama ada melalui PAK atau cawangan LZS.

“Proses permohonan sama seperti pemohon lain dan tertakluk kepada syarat umum kelayakan zakat serta haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan),” katanya.

Antara syarat umum yang ditetapkan ialah pemohon terdiri daripada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.


Pengarang :