AGENDANASIONAL

252 polis ditahan positif dadah sejak Mei

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Seramai 252 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan kerana didapati positif dadah sejak 23 Mei lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata ,PDRM sangat memandang serius masalah itu.

Menurutnya, pegawai atau anggota yang didapati terlibat atau disabitkan dengan kesalahan dadah boleh dikenakan hukuman seperti amaran, turun pangkat dan buang kerja.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PAKATAN-Kepong) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini mengenai jumlah polis yang ditahan kerana positif dadah sejak pelantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara pada Mei lalu.

Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa pegawai penyiasat tatatertib akan membawa pegawai atau anggota polis berkenaan berjumpa pegawai perubatan untuk mengambil sampel darah atau air kencing sebagai pengesahan kedua jika laporan patologi didapati negatif.

“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM melaksanakan program pemulihan MyPS Indah anjuran Bahagian Agama dan Kaunseling khusus bagi warga PDRM yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah bagi kes yang tidak dituduh di mahkamah kerana laporan ujian air kencing daripada patologi didapati negatif,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :