Hee Loy Sian
AGENDANASIONAL

290 tong bahan kimia ditemui di tebing Sungai Klang

SHAH ALAM, 7 NOV: Kira-kira 290 tong mengandungi bahan kimia dijumpai di tebing Sungai Klang di Kampung Kandan Dalam Puchong, kata EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

Katanya, sebelum itu terdapat 300 tong berwarna biru dijumpai di kawasan berkenaan namun hanya 290 yang masih mempunyai bahan kimia di dalamnya.

“Manakala 10 tong lagi sudah kosong, mungkin dipercayai ia sudah dibuang ke dalam sungai berkenaan,” katanya kepada media ketika Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Unit Pengurusan Bencana Negeri berhubung kejadian tumpahan bahan buangan sisa kimia di Kampung Kandan Dalam Puchong.

Dilaporkan Jabatan Pengairan Saliran telah melantik kontraktor untuk mengalihkan sebahagian tong yang berhampiran dengan sungai dan kerja pengalihan dilakukan dengan bantuan kren.

Loy Sian berkata, bagaimanapun bahan kimia jenis ‘Glycerin’ itu didapati tidak berbahaya kerana ianya sejenis bahan yang banyak digunakan dalam industri makanan.

“Bahan kimia itu tidak berbahaya serta diklasifikasikan sebagai tidak reaktif dan higroskopis. Jabatan Alam Sekitar telah mengambil sampel daripada semua tong yang mempunyai bahan kimia itu untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti syarikat yang sepatutnya bertanggungjawab dalam kes pembuangan tong mengandungi bahan kimia berkenaan di kawasan itu.

“Kita syak perbuatan ini dibuat oleh kontraktor yang dilantik untuk melupuskan bahan kimia. Mereka hendak mengambil jalan mudah dengan membuangnya di kawasan berhampiran dengan sungai,” katanya.


Pengarang :