Canselor UNISEL YAD Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UNISEL yang ke-14 di Dewan Canselor UNISEL, Bestari Jaya pada 29 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

2,978 graduan dirai pada Istiadat Konvokesyen ke-14 UNISEL

BESTARI JAYA, 30 NOV: Seramai 2,978 graduan diraikan pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 bertempat di Dewan Canselor, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya.

Jumlah itu merangkumi 1,253 graduan yang mengikuti pengajian peringkat Diploma, 1,670 graduan peringkat Ijazah Sarjana Muda, 31 graduan Ijazah Sarjana serta 24 graduan peringkat Kedoktoran.

Istiadat penuh warna-warni dan gilang-gemilang itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 2 Disember ini.

Konvokesyen kali ini dibahagikan kepada lima sidang bermula dengan sidang pertama yang disempurnakan Canselor UNISEL, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sambil diiringi Pro-Canselor UNISEL, Dato’ Setia Dr Anuar Masduki dan  Tan Sri Ismail Adam.

Turut hadir pada Istiadat Konvokesyen kali ini ialah Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Selain itu, lebih daripada 300 jemputan kenamaan daripada pelbagai portfolio hadir. Mereka antaranya Ahli Dewan Negeri dan Parlimen di Selangor, ketua-ketua jabatan di peringkat Kerajaan Negeri, wakil-wakil daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia dan negara jiran.

Seramai empat graduan merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti dan 40 graduan menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program, selain lima anugerah utama yang menjadi daya tarikan utama setiap graduan.

Anugerah Canselor diberikan kepada Anisah Norazmi, Ijazah Sarjana Muda Psikologi Industri (Kepujian), manakala Anugerah Khas Timbalan Perdana Menteri (Kepimpinan Mahasiswa Budiman), Mohd Faizal Wahimin, Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Anugerah Pengerusi pula disandang Nor Husna Mohd Rosli, Ijazah Sarjana Muda Sains Perpustakaan (Kepujian); Anugerah Naib Canselor, Mohamad Imran Azman, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dan Anugerah Exco Pendidikan diberikan kepada Nurul Eliana Mohamad Yacob, Diploma Fisioterapi.

Setiap kategori anugerah adalah sebagai bukti keprihatinan universiti berkenaan dalam menghargai kesungguhan dan kegigihan graduan selama ini.

Dalam pada itu, UNISEL buat julung kali menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Sosial Dr Merve Safa Kavakçi yang juga tokoh antarabangsa dan Duta Turki ke Malaysia.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Perhubungan Antarabangsa di George Washington University dan Howard University di Washington DC, selain menjadi perunding di Kongres Amerika Syarikat dalam isu dunia Islam.

Sementara itu, Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan diberikan kepada Tan Sri Dato’ Seri Halim Mohammad yang juga pengasas syarikat perkapalan terkemuka negara iaitu Halim Mazmin Berhad.

Halim antara tokoh tersohor dalam bidang maritim selama lebih 40 tahun, malahan menceburi bidang pelaburan seperti penerbangan, pendidikan tinggi dan hospitaliti.

Istiadat Konvokesyen turut dirancakkan dengan penganjuran Karnival Jelajah 360 Smart Selangor Edisi Khas yang berlangsung selama lima hari bermula 28 November hingga 2 Disember.

Karnival di Tapak Pesta Konvokesyen itu juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya Bazaria, Mega Zumbathon, pertandingan karaoke, memancing, e-sukan, Santai@UNISEL, UNISEL Kembara Dakwah, pertandingan sukan, pameran agensi Kerajaan Negeri Selangor dan Konsert Alami Smart Selangor yang dibarisi selebriti terkemuka tanah air.


Pengarang :