PBTSELANGOR

300 hadir Hari Terbuka Pusat Biomas Bersepadu anjuran MPSJ

OLEH ALIFF HAIKAL

PUCHONG, 26 NOV: Seramai 300 peserta terdiri daripada wakil jawatankuasa penduduk, pelajar sekolah dan pelajar institut pengajian tinggi awam serta swasta hadir Hari Terbuka Pusat Biomass Bersepadu anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sempena Sambutan Hari Habitat Sedunia 2019 di Pusat Biomass Bersepadu MPSJ, Jalan BP 4/1, di sini, hari ini.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, program tersebut memberi peluang kepada masyarakat untuk mempelajari dan mengetahui kaedah pengurangan sisa organik dan bukan organik.

“Projek hijau ini merupakan salah satu usaha MPSJ dalam mencapai hasrat menjadikan MPSJ sebagai bandar rendah karbon pada 2030,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Hari Terbuka Pusat Biomass Bersepadu di sini.

Program yang bermula jam 9 pagi hingga 1 petang dan menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti demonstrasi kompos sisa kebun, demonstrasi vermikompos, pameran tetrapak dan aktiviti kraf ‘upcycling’.

“Usaha ini turut dilakukan bagi mengurangkan sisa ke tapak pelupusan sampah dengan mengitar semula bahan organik dan bukan organik untuk digunakan semula.

“Diharapkan melalui penganjuran program seperti ini dapat membuka mata masyarakat mengenai kebaikan kitar semula selaras dengan hasrat MPSJ untuk menjadi perbandaran hijau menjelang 2030,” katanya.


Pengarang :