SAC Fadzil Ahmat (kiri) bersama Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe (kanan) ketika gimik pelupusan barang kes perjudian di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

3,470 ditahan kes judi dalam talian di Selangor

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Seramai 3,470 individu ditahan dalam lebih 1,000 serbuan membabitkan perjudian dalam talian dan sindiket pusat panggilan di sekitar Selangor dari Januari hingga kini.

Daripada jumlah itu, seramai 101 warga tempatan dikenal pasti sebagai ketua sindiket perjudian dan ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata 44 serbuan membabitkan pusat panggilan dengan 628 orang terdiri daripada rakyat China, Indonesia, Taiwan dan Myanmar ditahan manakala 1,158 serbuan melibatkan perjudian dalam talian dengan 2,842 orang ditahan.

“Sebanyak 269 komputer, 284 komputer riba dan 1,491 tab (tablet) termasuk telefon bimbit dirampas dalam serbuan-serbuan itu,” katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes Perjudian di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Pelupusan barang kes itu membabitkan 7,628 mesin komputer, mesin simulator dan telefon bimbit membabitkan 640 kertas siasatan dari tahun 2012 hingga 2018 di bawah Seksyen 4b(a) dan Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka dimusnahkan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata sejumlah 32 pusat panggilan judi dalam talian diserbu dan 510 orang ditahan dalam operasi di Cheras, Brickfield, Dang Wangi dan Sentul dekat sini sejak 1 Oktober hingga semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 471 warga China, 38 rakyat tempatan dan seorang Taiwan yang berusia antara 20 dan 48 tahun.

“Sindiket ini mensasarkan mangsa dari rakyat tempatan dan warga China dengan menggunakan dua cara iaitu melalui penghantaran khidmat pesanan ringas dan aplikasi Wechat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mazlan berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak dua hingga lapan bulan lalu di premis yang disewa dengan harga antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan dan mengaut keuntungan purata bulanan kira-kira RM36 juta.

Polis turut merampas pelbagai barang yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mereka dan nilai rampasan dianggar RM2.5 juta.

-BERNAMA


Pengarang :