Keadaan terminal lapangan terbang KLIA yang sesak akibat mengalami gangguan sistem pada 22 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

365 pelawat asing dihalang masuk semasa gangguan sistem KLIA

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Seramai 365 pelawat asing dikenakan arahan Notis Penolakan Masuk (NTL) ke negara ini oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semasa insiden kegagalan teknikal dan gangguan sistem operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ogos lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, JIM telah mengambil segala langkah kawalan sepanjang kegagalan Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) dan sentiasa memastikan kawalan pintu masuk negara tidak dibolosi dengan mudah demi keselamatan negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM tidak berkompromi dari aspek keselamatan dalam memastikan kawalan di pintu masuk sentiasa dipantau sepanjang insiden gangguan teknikal pada sistem di KLIA dan KLIA 2 pada Ogos lepas,” katanya pada sesi jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Azis menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berhubung statistik kemasukan pelancong asing ke negara ini semasa insiden berkenaan.

Mohd Azis berkata, rekod Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menunjukkan 368,042 pelawat asing tiba di KLIA dan KLIA2 dari 21 hingga 25 Ogos, dan 347,981 pelawat asing berlepas keluar melalui dua lapangan terbang itu bagi tempoh sama. Kegagalan TAMS dilaporkan berlaku dalam tempoh masa itu.

Kegagalan TAMS itu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata, adalah tidak benar dakwaan bahawa kerajaan memudahkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada pelancong dari China dan Hong Kong.

“Adalah ditegaskan bahawa penganugerahan kewarganegaraan Malaysia adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak diberikan sewenang-wenangnya,” kata timbalan menteri itu.

Beliau menjawab soalan Awang Hashim (PAS-Pendang) mengenai perkara itu.

– BERNAMA


Pengarang :