Perdana Menteri Britain, Boris Johnson (kiri) bersama Ketua Konstabel Polis Essex,, Ben-Julian Harrington (dua,kiri) dan Setiausaha Negara Britain, Priti Patel (tengah) ketika melawat Pejabat Majlis Thurrock ekoran penemuan 39 mayat warga asing di Essex pada 23 Oktober 2019. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

39 mayat dalam trak sejuk beku dipercayai warga Vietnam

LONDON, 2 NOV: Semua 39 mayat yang ditemui dalam trak sejuk beku di Essex dipercayai warga Vietnam dan identiti beberapa mangsa telah dikenal pasti, kata Polis United Kingdom (UK).

Polis berkata, Kerajaan Vietnam dan beberapa keluarga mangsa di UK serta di Vietnam telah dihubungi berhubung perkembangan terbaru itu.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, polis Essex berkata, bukti kukuh diperlukan untuk membolehkan maklumat itu dikemuka secara rasmi kepada pihak koroner, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

“Bukti sedang dikumpul dan buat masa ini kita tidak boleh dedahkan identiti mangsa,” jelas kenyataan itu.

Berikutan pengumuman berkenaan, Duta Besar Vietnam ke UK Tran Ngoc An berkata, meskipun bersedia untuk apa jua kemungkinan yang lebih teruk, beliau terkejut dan sedih ketika dimaklumkan mengenai perkara itu.

Beliau turut mengucapkan takziah dan bersimpati dengan keluarga mangsa.

Duta itu berkata, pihak kedutaan sentiasa bekerja sama rapat dengan agensi berkaitan di Vietnam dan UK serta telah bertemu dengan Setiausaha Kementerian Dalam Nerei UK, Priti Patel pada Jumaat.

Kedutaan telah menerima kira-kira 300 panggilan daripada orang ramai berhubung kes itu.

Polis Essex sedang memburu dua suspek, Ronan dan Christopher Hughes dari Ireland Utara, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.

Terdahulu, Maurice Robinson dan Laurel Drive didakwa melakukan 39 kesalahan termasuk melakukan pembunuhan, menyeludup manusia dan kesalahan imigresen.

– BERNAMA


Pengarang :