BERITA UTAMASELANGOR

40,469 ketua isi rumah daftar e-Kasih

SHAH ALAM, 8 NOV: Seramai 40,469 ketua isi rumah yang berpendapatan bawah RM4,000 berdaftar dengan sistem e-Kasih setakat 15 Oktober lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jumlah golongan sasar B40 yang berdaftar itu layak menikmati program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Antara manfaat yang dapat dinikmati golongan B40 itu adalah Kasih Ibu Smart Selangor, Skim Air Daruk Ehsan, Bantuan Kebajikan Masyarakat, Bantuan Bina dan Baiki Rumah serta Jom Shopping.

“Selain itu, turut layak menikmati Skim Peduli Sihat, Bantuan Sihat Selangor, Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar, Hadiah Pengajian, dana Usahawan Mikro, Blueprint dan Skim Smart Sewa,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Zakaria Hanafi (Barisan Nasional-Semenyih) pada Sidang Dewan Negeri, di sini.

Amirudin berkata, program IPR merupakan program jangka panjang yang bersifat holistik dan tidak hanya menyajikan pemberian bantuan kebajikan semata.

Malah, katanya, program itu memberi daya melalui pemerkasaan kepada penerima manfaat yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuk M40.

“Selain daripada program IPR, terdapat pelbagai program sedia ada di bawah Kerajaan Negeri yang dapat membantu menjana pendapatan rakyat sama ada dalam sektor usahawan, pertanian dan juga pendidikan yang boleh dimohon oleh golongan B40 dan M40.

“Program-program penjanaan pendapatan rakyat ini ditawarkan kepada mereka yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan terus melakukan penambahbaikan terhadap program sedia ada dan merangka program baharu yang bersesuaian dan menepati keperluan semua lapisan masyarakat selaras dengan gagasan Maju Bersama.


Pengarang :