PBTSELANGOR

45 premis sertai Pertandingan Tandas Bersih MDHS

SHAH ALAM, 22 NOV: Sebanyak 45 premis di bawah pentadbiran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyertai Pertandingan Tandas Bersih anjuran Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), pada 19 hingga 20 November lalu.

Pertandingan julung kali itu meliputi lima kategori iaitu Jabatan Kerajaan, pusat ibadat, premis makanan, stesen minyak dan sekolah serta pusat pengajian.

Unit Komunikasi Korporatnya memaklumkan, inisiatif itu bertujuan menyemai sikap cintakan kebersihan dan tanggungjawab sebagai pengusaha, pemilik serta pengguna tandas.

“Ini juga bagi memastikan tandas di kawasan Hulu Selangor sentiasa bersih, ceria dan memberi keselesaan kepada pengguna serta mampu menarik pelancong,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, penjurian akan dijalankan mengikut garis panduan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Panel juri terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Teknikal Dalaman MDHS iaitu Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Jabatan Landskap, Jabatan Korporat, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta termasuk Jabatan Pembangunan Masyarakat.

“Pemenang bagi setiap kategori akan diumumkan pada 30 November ini bersempena Program Karnival 3W (Wellness, Welfare, Women) dan Hari Tanpa Kenderaan.

“Pemenang bakal membawa pulang wang tunai, sijil penghargaan, piala iringan dan saguhati sebagai galakan bagi penyertaan tahun 2020,” katanya.


Pengarang :