AGENDAJENAYAH

468 orang ditahan, dadah RM6.45 juta dirampas

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Polis berjaya menahan 468 orang dan merampas sebanyak 121.9 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM6.45 juta dalam Op Damn Tokan 2.0 yang diadakan di seluruh negara, Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, mereka ditahan kerana membekalkan, memiliki dan positif dadah selepas saringan ujian air kencing.

Dadah dirampas termasuk syabu, heroin, ganja, pil Erimin 5 dan pil ekstasi manakala wang tunai berjumlah RM33,900, barang kemas bernilai RM47,725 dan kenderaan bernilai RM1.18 juta turut disita.

Mereka yang ditahan termasuk 25 wanita dan 12 warga asing berumur 18 hingga 46 tahun, katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

“Menerusi operasi ini, kita harap dapat menyekat pembekalan dadah secara berterusan. Selain itu, kita juga mendapati sebanyak 141 daripada 240 sarang penagihan dadah yang diserbu sebelum ini telah kembali aktif.

“Kita akan memantau isu ini dengan mengadakan operasi dari semasa ke semasa selain memohon kerjasama jabatan berkaitan dalam aspek rehabilitasi dan pendidikan bagi memantapkan usaha penguatkuasaan menangani isu dadah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khalil berkata pihaknya telah menahan seramai 190 warga polis yang didapati positif dadah termasuk enam pegawai dalam Op Blue Devil dari 13 Ogos lepas sehingga semalam.

“Mereka yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine (12), morfin (7), tetrahydoconnabinol (THC) (2) dan ketamin (8),” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :