Majlis Khatam Al-Quran Perdana peringkat Negeri Selangor Sekolah-Sekolah Agama Selangor kali ke-5 di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi pada 12 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

500 pelajar tahun 6 SRAI Selangor selesai khatam al-Quran

BANGI, 12 NOV: Seramai 500 pelajar tahun 6 dari 100 Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Daerah Hulu Langat menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana Peringkat Negeri Selangor Sekolah-Sekolah Agama Negeri Selangor kali ke-5 2019.

Penolong Pegawai Tadbir Agama Unit Pendidikan Islam, Daerah Hulu Langat, Misri Kabut berkata, majlis yang mengangkat tema ‘Selangorku Bergema Wahyu Ilahi’ dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh 66 pelajar dari 66 buah sekolah.

“Para pelajar terlebih dahulu menyelesaikan sesi bacaan di peringkat sekolah sebelum mengkhatamkan al-Quran mengikut adat kita bermula dari surah Adh-Dhuha sehingga surah An-Nas.

“Majlis turut diselitkan dengan program Tadabbur Al-Quran menerusi surah Al-Alaq yang disampaikan Pencetus Ummah (PU) Mukhsin Ahmad,” katanya.

Beliau berkata, majlis khatam al-Quran ini berlangsung serentak di semua daerah dan secara keseluruhan terdapat 42,000 pelajar SRAI di Negeri Selangor.

Berlangsung di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, majlis penutup disempurnakan Yang Dihormatkan Tok Ungku Orang Kaya Maha Bijaya, Orang Besar Daerah Hulu Langat, Abdul Jalil Dato’ Engku Abdul Rani.

Abdul Jalil dalam ucapannya berkata, beliau yakin sekiranya pembacaan al-Quran dapat diamalkan setiap hari mampu melahirkan insan berakhlak dan berbudi pekerti mulia.

Beliau turut mengingatkan para guru untuk memanfaat penghujung sesi persekolahan dengan aktiviti bermanfaat bagi memastikan pelajar hadir sepenuhnya ke sekolah.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengingatkan guru-guru supaya mengisi hari-hari terakhir persekolahan dengan program bermanfaat.

“Sebagai contoh memperkasakan program qiamullail, kemahiran sembelihan binatang, penilaian kaedah mandi hadas besar, bacaan tahlil dan wirid selepas solat fardhu, halaqah usrah, tahsin dan hafazan al-Quran seperti Surah Al-Mulk, Al-Waqiah, As-Sajadah, Al-Insan serta aktiviti kemahiran rumahtangga seperti memasak, menjahit dan sebagainya.

“Aktiviti tersebut dilaksanakan sebagai langkah untuk memastikan semua murid dapat hadir sepenuhnya ke sekolah seperti biasa,” katanya.


Pengarang :