AGENDABERITA UTAMANASIONAL

57 peratus kes HIV akibat hubungan sesama lelaki

SHAH ALAM, 28 NOV: Peratusan jangkitan Virus Kurang Daya Tahan Penyakit (HIV) di Malaysia kian berubah apabila hubungan seksual antara lelaki menguasai 57 peratus punca jangkitan pada tahun lalu berbanding sekitar lapan peratus pada 2010.

Statistik terbaharu dikeluarkan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan menunjukkan, hubungan seksual antara jantina atau heteroseksual berkurangan kepada 37 peratus berbanding 40 peratus, lapan tahun lalu.

Corak jangkitan itu berubah sejak pertama kali HIV ditemui di negara ini pada 1986.

“Bermula 1990, majoriti jangkitan HIV berlaku dalam kalangan penagih dadah kerana perkongsian jarum suntikan sesama mereka.

“Angka ini menurun kurang dari separuh dari jumlah jangkitan pada 2010, namun jangkitan heteroseksual berlaku peningkatan.

“Corak ini berubah pada tahun lalu di mana lebih separuh daripada jumlah kes akibat hubungan sejenis sesama lelaki dan hanya tiga peratus sahaja menerusi perkongsian jarum suntikan,”  jelas kenyataan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan.

Selain daripada jangkitan melalui jarum suntikan dan hubungan seksual, HIV juga boleh berjangkit melalui jangkitan ibu kepada bayi dalam kandungan, kesilapan pemindahan darah atau organ dan kemalangan tercucuk jarum ketika mengendalikan jarum suntikan.


Pengarang :