AGENDAJENAYAH

594 kes keganasan rumah tangga, seksual direkodkan di Kelantan

KOTA BHARU, 23 NOV: Sebanyak 594 kes keganasan rumah tangga dan seksual direkodkan di Kelantan sepanjang tempoh 10 bulan pertama tahun ni, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata kesalahan paling banyak melibatkan keganasan ke atas wanita membabitkan 499 kes termasuk 54 kes rogol.

“Kesalahan seksual yang lain ialah cabul, liwat, mengedar gambar lucah dan membuat isyarat lucah manakala kes keganasan pula adalah penderaan kanak-kanak, penderaan pembantu rumah, buang bayi dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

“Bagi polis ini adalah satu angka yang banyak dan perlu ditangani secara bersama bagi mengelakkan kejadian ini bertambah serius,” katanya kepada pemberita pada Kempen Hentikan Keganasan Terhadap WanitaIbu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini,

Beliau berkata berdasarkan siasatan, punca keganasan terhadap wanita ialah kerana sikap suami yang panas baran manakala kurang didikan agama merupakan antara punca berlakunya perbuatan sumbang mahram.

Mengenai kes kes buli rakan sekelas di sebuah sekolah di Pasir Puteh, Khamis lalu yang tular di media sosial, Hasanuddin berkata kesemua 10 suspek yang berusia 15 tahun sudah ditahan pihak polis kelmarin selepas mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh setelah tidak tahan dibuli.

“Kesemua suspek dibawa ke balai untuk siasatan lanjut bersama guru sekolah untuk direkodkan keterangan dan Perintah Untuk Menyiasat (OTI) sudah pun dilaksanakan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata polis juga akan mengambil tindakan ke atas pelajar lelaki yang merosakkan kerusi di sekolah agama di Kota Bharu selepas rakaman video 13 saat perbuatannya tular di media sosial.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta awam,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :