EXCOSELANGOR

594 peserta ‘Zero To Hero’ berjaya jana pendapatan sendiri

SHAH ALAM, 5 NOV: Sejumlah 594 peserta yang menyertai program ‘Zero To Hero’ kendalian Hijrah Selangor (HIJRAH) kini mampu menjana pendapatan sendiri.

Program yang diperkenal sejak 2016 itu berjaya mengumpulkan 676 peserta setakat ini, kata EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Katanya daripada jumlah itu 82 orang lagi masih dalam proses bimbingan.

“Kita lihat dalam program ini ada pengukuran dilakukan Institut Darul Ehsan yang menyatakan ia memberi impak positif dalam meningkatkan pendapatan peserta.

“Di peringkat HIJRAH masih belum ada kajian khusus. Peserta program ini akan bergandingan dengan syarikat peneraju melalui bimbingan selama tiga hingga enam bulan, malah mereka berpotensi mendapat geran dari RM1,000 sehingga RM5,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut yang dikemukakan Zakaria Hanafi (BN-Semenyih) di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.


Pengarang :