Ng Sze Han menaiki Bas Smart Selangor selepas melancarkan laluan baharu perkhidmatan itu di perhentian bas Sekolah Kebangsaan Batu Arang, Rawang pada 29 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

8.8 juta manfaat Bas Smart Selangor hingga Julai

RAWANG, 29 NOV: Perkhidmatan Bas Smart Selangor memberi manfaat kepada 8.8 juta penumpang di negeri ini pada Januari hingga Julai lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata perkhidmatan percuma itu membabitkan 138 buah bas di 43 laluan di seluruh Selangor.

“Program ini keseluruhannya menelan belanja RM106 juta dengan RM81 juta diperuntuk Kerajaan Negeri manakala selebihnya adalah peruntukan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ng Sze Han dengan papan tanda laluan bas sempena Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor MPS3 (Laluan Batu Arang-KTM Sungai Buloh), di perhentian bas Sekolah Kebangsaan Batu Arang, Rawang pada 29 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 juta lagi bagi memperluas dan menambahbaik perkhidmatan Bas Smart Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Laluan 3 Bas Smart Selangor Majlis Perbandaran Selayang di Batu Arang, di sini hari ini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri bersedia menambah laluan bas jika terdapat permintaan, namun ia memerlukan kerjasama PBT daripada segi pembahagian kos.

Pada masa sama, katanya Selangor memperuntukan RM30 juta bagi membiayai kos operasi Bas Smart Selangor pada tahun depan.

“Sebenarnya tumpuan kami pada 2020 untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan Bas Smart Selangor dan merancang menukar bas sedia ada kepada bas elektrik pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :