Selangorkini
Mohd Salim Mohamed Sain menunjukkan Program Berkhatan Perdana yang bakal berlangsung pada 26 November ini.
AGENSI SELANGOR

80 anak yatim, asnaf sertai khatan perdana

SHAH ALAM, 14 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) akan menganjurkan Program Berkhatan Perdana bagi 80 anak yatim dan asnaf Selangor pada 26 November ini di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Induknya, Mohd Salim Mohamed Sain berkata, penganjuran program julung kali pertama itu mendapat kerjasama daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), Management and Science University, Medical Center (MSU MC) dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong.

Katanya, program terbabit akan dijadikan aktiviti tahunan pada masa akan datang.

“Objektif penganjuran Berkhatan Perdana ini adalah untuk meringankan beban ibu bapa atau penjaga kepada anak-anak kerana kos untuk berkhatan kini agak mahal.

“Selain berkhatan dituntut oleh agama Islam ia juga bagi penjagaan kesihatan yang sempurna,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Salim berkata, MSU MC akan menyediakan empat doktor pakar selain menggunakan kaedah laser bagi membolehkan proses berkhatan cepat siap dan mereka yang berkhatan cepat sembuh.

“Seramai 80 orang ditawarkan untuk menyertai program Berkhatan Perdana ini yang terdiri daripada anak-anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE dan asnaf yang berdaftar di bawah LZS,” katanya.

Program Berkhatan Perdana ini dijangka turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bagi menyempurnakan program ini dan menyantuni anak-anak yatim dan asnaf.

Sebarang pertanyaan berkaitan pendaftaran program ini mereka boleh menghubungi Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan & Publisiti, Md. Arifin Jaafar menerusi nombor telefon 012-905 5173, atau Eksekutif Kebajikan Muhammad Zubair Azizan menerusi telefon 017-756 9476.


Pengarang :