Pembantu EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni melakukan gimik perasmian pada program berkhatan Perdana anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam. 26 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

80 kanak-kanak sertai program berkhatan anjuran YIDE

SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai 80 kanak-kanak asnaf dan anak yatim menyertai Program Berkhatan Perdana anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hari ini.

Majlis berkhatan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong itu adalah julung kali diadakan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS), Management and Science University, Medical Centre (MSU MC).

Pembantu EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kesemua peserta terbabit terdiri daripada kanak-kanak berusia lingkungan tujuh hingga 15 tahun dari seluruh Selangor.

Pembantu EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni Melawat tempat berkhatan pada program berkhatan Perdana anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam. 26 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan untuk meringankan beban ibu bapa memandangkan kos untuk berkhatan masa kini agak mahal.

“Kita menggerakkan program ini melalui institusi agama seperti masjid dan surau bagi membantu golongan memerlukan terutama anak yatim serta fakir miskin dengan menawarkan harga berpatutan.

”Apabila tiba musim cuti persekolahan ibu bapa perlu menanggung banyak komitmen, bahkan ada di sesetengah kawasan yang kebanyakannya terdiri daripada keluarga miskin tidak mampu mengkhatankan anak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MSU MC, Dato’ Nasharuddin Shukor; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop.

Gelagat kanak-kanak pada program berkhatan Perdana anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam. 26 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mohd Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata, MSU MC menyediakan seramai empat doktor pakar dengan menggunakan kaedah laser (Diathermy).

Katanya, kaedah berkenaan bukan sahaja mempercepatkan proses berkhatan, malahan memberi kesembuhan segera kepada kanak-kanak.

“Malah, berkhatan juga dituntut oleh agama Islam bagi penjagaan kesihatan dan kebersihan diri yang lebih sempurna,” katanya.

Pada masa sama, katanya, program seumpama itu akan dijadikan sebagai acara tahunan selaras dengan hasrat untuk terus menyantuni dan memperkasa kebajikan golongan memerlukan.


Pengarang :