AGENDANASIONAL

82 peratus selesai undi awal setakat 1 tengah hari

PONTIAN, 12 NOV: Pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang berlangsung hari ini merekodkan jumlah peratusan pergi mengundi sebanyak 82 peratus daripada 280 pengundi yang layak mengundi, setakat pukul 1 tengah hari ini.

Pengundian dijalankan di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian (IPD) di sini bermula pukul 8 pagi dan dijangka tamat pukul 5 petang ini.

Sebanyak dua saluran iaitu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup dan Pekan Nanas telah pun dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan 280 anggota dan pegawai polis menunaikan tanggungjawab mereka.

Namun satu daripada saluran itu iaitu DUN Pekan Nanas telah pun ditutup secara rasmi pada pukul 1 tengah hari manakala sebuah lagi saluran iaitu DUN Kukup masih berlangsung proses pengundian.

Mengikut pecahan, 210 pegawai dan anggota polis bertugas di kawasan DUN Kukup, manakala 18 orang bertugas di kawasan DUN Pekan Nanas.

Seramai 38 orang pula bertugas di luar daerah dan 14 telah pun bersara.

Terdahulu, tinjauan Bernama di lokasi, mendapati cuaca yang baik membantu proses pengundian berjalan lancar dengan 10 pegawai dan anggota polis dari IPD Pontian turut ditugaskan untuk menjaga keselamatan.

Proses pengundian turut memperlihatkan kehadiran anggota pemerhati SPR dan ejen setiap calon.

Beberapa orang calon yang bertanding dalam pilihan raya itu juga dilihat melawat pusat pengundian berkenaan dengan yang terawal tiba ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada pukul 7.56 pagi.

Ini diikuti calon Gerakan Wendy Subramaniam yang tiba pukul 8.03 pagi, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini pada 8.20 pagi, calon Bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar pada 10.10 pagi dan calon Berjasa Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (10.15 pagi). Seorang lagi calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock masih tidak kelihatan kelibatnya melawat pusat berkenaan.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kesembilan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos tahun lepas.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Pengundian dijalankan Sabtu ini.

-BERNAMA


Pengarang :