Goay Peck Sim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

831 PKS sertai Audit Teknologi SIRIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 831 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seluruh Malaysia menyertai program Audit Teknologi anjuran SIRIM setakat November tahun ini.

Naib Presiden Perancangan Strategik Kumpulan SIRIM Berhad, Goay Peck Sim berkata 251 daripada jumlah itu adalah PKS dari Selangor, sekali gus menjadikan negeri itu paling aktif menyertai program terbabit.

Katanya melalui program itu SIRIM membantu mereka dalam pelbagai intervensi teknologi termasuk peningkatan automasi dan mekanisasi proses pengilangan serta pengeluaran.

“Bagi mempertingkatkan usaha kami dalam pembangunan PKS tempatan, SIRIM menjalin kerjasama strategik dengan organisasi penyelidikan Jerman terkenal iaitu Institut Fraunhofer, organisasi penyelidikan berorientasikan aplikasi terbesar di Eropah.

“Kerjasama strategik dengan Fraunhofer merangkumi program Audit Teknologi dalam bidang aplikasi teknologi ini bagi membantu PKS memahami kekuatan dan kelemahan serta langkah penambahbaikan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Keterlibatan SIRIM-Industri di Auditorium Dato’ Yahaya Ahmad, SIRIM, Seksyen 2, di sini hari ini.

Turut hadir EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim.

Peck Sim berkata syarikat yang sudah berdaftar untuk pengauditan akan bekerjasama dengan SIRIM dan layak menyertai program intervensi teknologi bagi mempertingkatkan keupayaan, meneroka potensi penambahbaikan, automasi dan peningkatan.

Katanya selain itu ia turut membantu mengenal pasti bidang penyelidikan dan pembangunan bermanfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang.

“SIRIM memperkenalkan inovatif Perniagaan Kecil dan Perusahaan Sederhana meliputi penyelidikan, pembangunan teknologi dan pengkomersialan serta perkhidmatan akses pasaran untuk meningkatkan pertumbuhan PKS,” katanya.

SIRIM wujud di Selangor sejak 1975 dan berpengalaman lebih 40 tahun menawarkan aplikasi dan peningkatan teknologi dalam pelbagai sektor seperti perkilangan, minyak dan gas serta perkhidmatan.


Pengarang :